fbpx

Warga UTM bantu murid perkasa bahasa Inggeris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POONKUZHALI (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan MVP: Master Chef Junior di UTM, Skudai, Johor.

PENGUASAAN bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian khususnya bagi murid di pinggir bandar dilihat masih rendah.

Menyedari hakikat itu, sepasukan pendidik daripada Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor mengambil inisiatif untuk mengubah stigma murid terhadap bahasa Inggeris.

Justeru, lahirlah ilham kumpulan pendidik itu untuk melaksanakan Kem Bahasa Inggeris (KBI) bersiri yang bertujuan memperkasakan penggunaan bahasa tersebut dalam kalangan murid sekolah rendah.

Menurut Penolong Pengarah KBI, Lokman Hafiz Asary, kem itu dilaksanakan untuk membantu pelajar membina keyakinan diri berkomunikasi dalam bahasa Inggeris bersama rakan sekelas dan di depan khalayak umum.

“Saya pernah mengajar di sekolah rendah di kawasan pinggir bandar, kumpulan sasaran ini sering kali tercicir kerana fokus lebih diberikan kepada pelajar luar bandar dan sekolah berprestasi tinggi di bandar.

“Jadi, kami pasukan pendidik melaksanakan program yang diberi nama ‘English Camp: EduEnglish Food Fun Fest’ siri pertama pada 5 September lalu membabitkan 60 murid di enam buah sekolah bersama 12 guru pengiring,” katanya.

PARA pelajar teruja melihat juri mencuba makanan yang dihidangkan mereka.

Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tiram Duku, SK Pendas Laut, SK Sungai Danga, SK Ladang Pendas, SK Tanjung Kupang dan SK Tanjung Adang yang terletak dalam daerah Iskandar Puteri, Johor.

Lokman berkata, kem tersebut dijalankan dengan memberi penekanan terhadap pembelajaran dalam suasana santai dengan pendekatan bersahaja.

Ujarnya, projek itu merupakan perintis beberapa lagi siri KBI seperti ‘Master Chef Junior English Camp’ yang dilaksanakan secara interaktif untuk menggarap kemahiran literasi pelajar serta pendedahan gaya hidup sihat.

“Diharapkan pelajar ini akan menjadi ejen penggerak untuk meneruskan visi ini di peringkat sekolah,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada tiga peserta cilik, Ilyana Suhaila Abdollah yang juga merupakan guru pengiring berkata, program itu sangat menarik serta unik dan berjaya menarik minat anak muridnya.

SALAH seorang fasilitator membimbing pelajar menyiapkan tugasan diberikan.

Ilyana yang juga Ketua Panitia Bahasa Inggeris SK Tanjung Kupang menambah, mereka (murid) belajar bahasa Inggeris hanya di dalam kelas dan tiada pendedahan khusus di rumah.

“Justeru, pengalaman datang ke UTM menyertai program ini sangat bermakna bagi mereka. Lebih membanggakan, murid saya menjadi lebih berani terutamanya anak saya, Muhammad Faiq Fahimy Muhammad Afham.

Terdahulu, program siri pertama itu dirasmikan Naib Pengerusi Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM, Dr. Ain Balqis Haladin.

Turut hadir ialah Pegawai SISC+, Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, P. Poonkuzhali.

Poonkuzhali menzahirkan ucapan penghargaan terhadap pasukan pengajar serta fasilitator UTM yang telah berjaya memperkenalkan program itu kepada anak-anak di kawasan pesisiran pantai Johor Bahru.

“Semasa tiba, saya sangat teruja melihat anak-anak pelajar tidak betah duduk di kerusi kerana semuanya berebut ke depan pentas untuk menjawab soalan.

“Saya sangat sukakan ‘bunyi bising belajar’ ini,” katanya.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para peserta yang berjaya mendapat anugerah ‘MVP: Master Chef Junior’, ‘Masakan Terbaik’ serta ‘Persembahan Terbaik’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI