fbpx

Banjir: Belum hilang penat, rumah dinaiki air sekali lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk, Ismail Mahmud, 72, menggunakan bot di kawasan rumahnya di Derang, Pokok Sena yang dilanda banjir hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

POKOK SENA – Belum habis penat mencuci rumah akibat banjir pada minggu lalu, lebih 500 penduduk di beberapa kawasan di daerah ini diuji lagi apabila kediaman mereka dinaiki air semula sejak semalam.

Penduduk Kampung Derang, Shamsul Tajuddin, 44, berkata, dia baru selesai membersihkan rumah pada Khamis lalu selepas dilanda banjir pada 18 September lepas.

“Saya dan isteri baru siap mencuci rumah pada Khamis lepas. Hanya tinggal nak susun perabot, namun air naik lagi hari ini.

“Memang penat sebab kejadian berlaku dalam tempoh singkat,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau, di sini hari ini.

Difahamkan, kawasan Pokok Sena dinaiki air sekali lagi berikutan limpahan air dari daerah Padang Terap yang dilanda banjir kilat kelmarin.

Katanya, kerugian yang dialaminya baru-baru ini dianggarkan lebih RM3,000 kerana kebanyakan perabot terutama almari kayu rosak.

“Pintu-pintu rumah dan bilik baru sahaja kering selepas banjir baru-baru ini, tetapi rasanya rosak kerana dua kali terendam air dalam tempoh yang singkat,” ujarnya.

Penduduk Kampung Bukit, Ismail Mahmud, 72, pula memberitahu, dia baru sahaja selesai membersihkan rumah dan perabot yang ditenggelami banjir baru-baru ini.

“Hari ini saya sekeluarga terpaksa pindah semula ke PPS, harap kali ini tidak seteruk sebelum ini,” jelasnya.

Sementara itu, Md. Zahari Ramli, 56, berkata, rumahnya hanya dimasuki air di bahagian dapur, namun jalan ke rumahnya terputus akibat banjir.

“Saya sekeluarga berpindah ke PPS kerana tidak mahu mengambil risiko disebabkan isteri tidak sihat akibat patah tulang belakang selepas jatuh tangga lebih sebulan lalu,” katanya.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 856 orang daripada 285 keluarga setakat pukul 5.30 petang ini.

Daerah Pokok Sena merekodkan 564 mangsa daripada 179 keluarga dan bakinya merupakan mangsa di Kubang Pasu yang melibatkan 106 keluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI