BARCELONA – Pengurus Barcelona, Hansi Flick nyata sukar terima kenyataan apabila pasukannya tewas 2-4 kepada Osasuna dalam saingan La Liga, awal pagi semalam.
Flick merasakan bolos empat gol menjadi sesuatu yang agak sukar untuk diterima oleh semua pihak khususnya penyokong Barcelona.
“Kami melakukan banyak kesilapan. Tugas saya adalah bukan untuk bercakap mengenai pengadil, tetapi apabila kami melepaskan empat gol, ia adalah sesuatu yang agak keterlaluan,” katanya.
Ante Budimir menjaringkan dua gol buat Osasuna diikuti satu gol daripada Bryan Zaragoza dan Abel Bretones, manakala dua jaringan Barcelona dihasilkan Pau Victor serta Lamine Yamal.
Bagaimanapun, Flick mahu bersikap realistik dan gesa anak buahnya supaya segera lupakan kekecewaan ini agi beri tumpuan kepada saingan Liga Juara-Juara menentang Young Boys, Rabu ini.
“Kami kena terima kekalahan ini kerana kami tidak bermain dengan baik. Saya percaya ini adalah tanggungjawab saya kerana pemain sudah pun berdepan keletihan dan saya juga tidak jangkakan mereka akan bermain seperti ini
“Robert Lewandowski juga perlukan rehat, begitu juga dengan pemain lain. Kami mempunyai perlawanan setiap tiga hari, jadi kami akan lakukan apa yang terbaik buat pasukan,” jelasnya. AGENSI