fbpx

PM zahir penghargaan kesungguhan Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika hadir Majlis Jamuan Negeri di Miri, Sarawak semalam.

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan di atas kesungguhan kerajaan Sarawak dalam bersama-sama membangunkan negara dengan mencatat pertumbuhan ekonomi yang membanggakan.

Perdana Menteri berkata, pencapaian Sarawak itu boleh terus melonjak dengan meneroka potensi kerjasama yang lebih besar dengan jirannya iaitu Brunei dan Indonesia dalam pelbagai bidang sama ada pelaburan, tenaga, pelancongan dan sebagainya.

“Namun saya tegaskan keperluan untuk seluruh jentera kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri untuk menyokong visi ini dengan memastikan dasar dan pengumuman dilaksanakan secara lebih pantas dan segera.

“Mengambil contoh pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo yang begitu cemerlang di Sarawak apabila mencapai kemajuan lebih 90 peratus, ketimbang hanya sekitar 50 perarus di Sabah akibat permasalahan kontrakor serta campur tangan politik berlebihan.

“Begitu juga dengan pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang cuai dalam memastikan perancangan jangka panjang yang berkesan, hingga mengakibatkan khidmat aerotrain terpaksa digantung buat sementara Waktu,” tulisnya di Facebook rasmi Perdana Menteri hari ini.

Terdahulu, Anwar menghadiri Majlis Jamuan Negeri sempena lawatan ke Miri malam tadi bersama Premier Sarawak serta pimpinan persekutuan, negeri dan rakyat setempat.

Tambah Anwar, beliau berulang kali tekankan kepentingan melaksanakan projek dan inisiatif rakyat yang mendesak secepat mungkin dan perubahan itu mula memberi kesan positif kepada imej negara di mata dunia.

“Usaha Malaysia untuk menjadi lebih kompetitif, bingkas dan dinamik, di samping pendirian Malaysia yang bebas dan merdeka, mula menarik minat pelabur sama ada dari Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Korea, China mahupun Rusia.

“Justeru kita harus berfikir dan memilih, sama ada mahu kekal lembap dan mundur, bergaduh soal titik bengik dan perbezaan warna kulit, atau memacu momentum yang telah kita bina ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya lagi, tekad Kerajaan Madani jelas, yakni mahu membetulkan kebobrokan lalu, menghentikan amalan rasuah dan penyelewangan, memperbaiki tatakelola, merangka dasar yang jelas dan menggembleng seluruh kekuatan untuk mengangkat semula darjat, martabat dan harkat rakyat dan negara ke tingkat tertinggi. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI