PETALING JAYA – Kelab peminat pelakon popular Fattah Amin dilihat kembali aktif selepas enam tahun menyepi.
Kelab yang diberi nama The FA Team itu dilihat kembali memuat naik kandungan dalam akaun Instagram.
Kali terakhir kelab peminat tersebut memuat naik hantaran dalam Instagram adalah pada Mei 2018.
Terbaharu, akaun The FA Team berkongsi beberapa video kempen terbaharu Fattah serta pencalonan dalam Anugerah Seri Angkasa di mana Fattah tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik.
The FA Team sebelum ini pernah mengumumkan pembubaran pada Julai 2018 atas sebab-sebab yang tidak diketahaui.
Fattah pada ketika itu menafikan pembubaran kelab peminatnya disebabkan campur tangan isterinya iaitu Nur Fazura.
The FA Team ditubuhkan sejak awal pembabitan Fattah dalam bidang seni iaitu kira-kira 10 tahun lepas.
Bersama The FA Team, Fattah telah mengukir pelbagai kejayaan termasuklah meraih beberapa periktirafan menerusi Anugerah Bintang Popular dan Anugerah Meletop Era.
Namun semenjak kelab peminat itu dibubarkan, Fattah dilihat tidak lagi memenangi mana-mana anugerah yang melibatkan undian peminat.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, mula menceburkan diri dalam bidang seni selepas menjuarai pertandingan Hero Remaja pada 2012. – KOSMO! ONLINE