LANGKAWI – Perlumbaan sokongan sempena Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, Domestique berlangsung cukup meriah semalam dengan pelumba akademi Terengganu Cycling Team (TSG), Saniy Syahmi Safiee menjuarai kategori terbuka.
Menurut Saniy Syahmi, kejayaan meraih tempat pertama dan berpeluang terlebih dahulu merasai laluan peringkat pertama LTdL 2024 memberi makna besar dalam kariernya.
“Terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu dan saya rasa laluan hari ini semuanya dalam keadaan baik.
“Saya menjangkakan pada perlumbaan sebenar esok membabitkan senior saya sudah pasti berlangsung lebih pantas,” kata pelumba berusia 23 tahun itu.
Saniy Syahmi yang meletakkan sasaran untuk menyertai skuad utama TSG tiba di garisan penamat dengan catatan masa dua jam 16 minit 48 saat (s), manakala tempat kedua diraih Iskandariah Medina Hisham (2:16.48s) dan ketiga milik seorang lagi pelumba Akademi TSG, Faisal Izuddin Ahmad Joyo (2:17.00s).
Sebagai rekod, Domestique adalah perlumbaan sokongan yang memberikan atlet berbasikal amatur merasai laluan sebenar perlumbaan LTdL peringkat pertama sejauh 96.5 kilometer (km) di Pulau Langkawi.