PARIT BUNTAR – Tiga nelayan berhadapan detik-detik cemas apabila bot yang digunakan mereka untuk menangkap ikan rosak sebelum hanyut sejauh lebih 16 batu nautika ke Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka berjaya diselamatkan Jabatan Perikanan Daerah Kerian.
Ketua Pangkalan Cawangan Perlindungan Sumber Perikanan Kuala Kurau, Nazri Mohd Noh berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 10.30 malam dan beliau difahamkan bot yang dinaiki tiga nelayan berusia 20 hingga 40an itu telah hanyut beberapa jam akibat kerosakan enjin.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan bermula di lokasi terakhir mereka dilaporkan hanyut.
“Empat anggota digerakkan ke lokasi dengan menggunakan sebuah bot dan pencarian selama satu jam 30 minit akhirnya menemui bot bersama nelayan itu pada pukul 12.37 tengah malam berhampiran Pulau Kendi, Pulau Pinang.
“Anggaran jarak mereka ditemui adalah sekitar 16 batu nautika dari Perairan Tanjung Piandang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kesemua nelayan itu berada dalam keadaan selamat dan bot yang digunakan mereka ditunda ke pengkalan. – K! ONLINE