fbpx

Simpan SSPN catat RM18.85 bilion deposit, 6.54 juta akaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norliza dan Ahmad Dasuki merasmikan Majlis Pelancaran BMS 2024 di Kuala Lumpur, hari ini.

PETALING JAYA – Sebanyak RM18.85 bilion jumlah deposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) diterima dengan bilangan akaun berjumlah 6.54 juta, berdasarkan rekod sehingga 31 Ogos lalu.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pencapaian deposit Simpan SSPN sentiasa menunjukkan peningkatan membanggakan, bahkan prestasi ini membuktikan Simpan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik di negara ini.

“Tahun ini genaplah dua dekad usia Simpan SSPN. Tempoh ini bukanlah satu fasa yang singkat.

“PTPTN telah mengharungi pelbagai cabaran untuk memastikan Simpan SSPN terus kekal relevan sebagai produk simpanan terbaik dan berdaya saing di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 di MyTown Shopping Centre, Kuala Lumpur yang turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif PTPTN dan Pengurusan Kanan PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Norliza berkata, berdasarkan prestasi kutipan deposit dalam tempoh enam tahun penganjuran BMS, beliau optimis BMS 2024 akan mencatatkan kutipan deposit Simpan SSPN yang luar biasa.

“Pada BMS kali ini, PTPTN menyasarkan jumlah deposit Simpan SSPN sebanyak RM220 juta. Saya yakin sasaran ini akan dapat dicapai dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak serta strategi promosi yang dilaksanakan” ujarnya.

Berhubung BMS 2024, ia bersempena Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun serta merupakan program ‘signature’ PTPTN dalam memartabatkan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN.

Tahun ini merupakan tahun ketujuh penganjurannya sejak 2018, dengan program bermula di peringkat nasional pada 26 hingga 29 September, manakala majlis pelancaran pada hari ini turut diadakan serentak di seluruh negara.

Norliza berkata, BMS pada kali ini bertemakan Fantasi bersempena Hari Impian Sedunia yang disambut pada 25 September setiap tahun dan mengekalkan ‘tagline’ Jom Jadi Superhero Anak Anda.

“BMS 2024 merupakan inisiatif pemerkasaan penabungan dipelopori oleh PTPTN bertujuan memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira atau ‘superhero’ kepada anak-anak dengan mempunyai perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Action Song Simpan SSPN, PTPTN e-Sport Challenge (Mobile Legends: Bang Bang), Simpan SSPN Got Talent, Jenga Family Competion Simpan SSPN, Baby Merangkak Race, Kuiz Kahoot! Simpan SSPN, penampilan khas Didi & Friends dan P&T, selebriti jemputan dan banyak lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI