LONDON – Kedudukan Manchester City di puncak Liga Perdana Inggeris seakan makin goyah apabila hanya mampu meraih satu mata selepas diikat Newcastle United 1-1 di St. James’ Park, sebentar tadi.
Ini adalah kali kedua The Citizens melepaskan dua mata selepas turut mencatatkan seri pada aksi terakhir liga, diikat 2-2 oleh satu lagi pencabar kejuaraan, Arsenal di Stadium Etihad, 22 September lalu.
Keputusan ini ini juga mengekalkan rekod tanpa kalah Newcastle di gelanggang sendiri, kali terakhir tewas adalah ketika tunduk 2-3 kepada City, Januari lalu manakala 10 aksi selepas itu berakhir dengan enam kemenangan dan empat kali seri.
Terdahulu, babak pertama berlangsung agak seimbang namun minit ke-35 tuah lebih berpihak kepada City yang memperoleh gol pembukaan menerusi Josko Gvardiol.
Selepas 13 minit aksi bersambung, Anthony Gordon tenang menyempurnakan penalti untuk memastikan gol penyamaan dan jaringan itu jelas membangkitkan semangat juang Newcastle yang makin garang mengasak kubu pertahanan City.
Bagaimanapun, peningkatan tempo permainan Newcastle tidak lama apabila City kembali mengimbangi permainan dan turut dihidangkan beberapa percubaan menarik khususnya menerusi Phil Foden dan Bernardo Silva.
Kesungguhan Newcastle untuk mengelak daripada tewas begitu terserlah, menyaksikan bintang sensasi pelawat, Erling Haaland dikawal rapi dan dilihat sukar mencari ruang bagi menambah jaringan. – KOSMO! ONLINE