MENCURI tumpuan khalayak, kisah perceraian pasangan pelakon Nur Fazura dan Fattah Amin menjadi antara hal yang hangat diperkatakan sejak dua menjak ini.
Jutaan peminat saling berteka-teki tentang kesudahan kisah mereka terutama selepas kedua-dua mereka hadir ke Mahkamah Syariah Petaling, Subang Bestari, Rabu lalu.
Sejak Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin memfailkan perceraian pada 13 September lalu iaitu sehari sebelum ulang tahun Fattah, kisah mereka mengejutkan seluruh pelosok industri hiburan.
Perkara sama berlaku ketika kes sebutan perceraian beberapa hari sudah.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 34, bagaimanapun mengakui tetap terus menyayangi isterinya dan menafikan wujud wanita lain seperti didakwa segelintir pihak.
Meskipun diminta untuk membuat pertimbangan agar memperbaiki semula rumah tangga dengan Fattah, Fazura bagaimanapun nekad mahu bercerai demi maruah dan kesejahteraan hidup bersama anak iaitu Nur Fatima Aisya.
Namun, pada sambutan ulang tahun kelahiran Fazura yang ke-41 pada 27 September, Fattah menghadiahkan jambangan bunga hidrangea berwarna merah jambu buat isteri tercinta.
Dengan titipan doa, Fattah mengharapkan agar Fazura dilimpahi dengan rahmat dan rezeki Allah yang tidak terhingga.
“Daddy doakan pada hari kelahiran mommy, akan sentiasa gembira, dimurahkan rezeki, diberi perlindungan Allah dan kebahagiaan dunia serta di akhirat selama-lamanya,” tulisnya.
Kad tulisan tangan itu seperti satu strategi buat Fattah barangkali untuk menambat semula hati isteri.
Mencari makna di sebalik bunga hidrangea, difahamkan dalam budaya masyarakat Jepun, hidrangea membawa simbol permohonan maaf.
Sementara hidrangea merah jambu pula dikatakan lambang keikhlasan cinta sepenuh hati. Bahkan, jika dilihat secara dekat bunga kelopak bunga itu juga menyerupai bentuk hati.
Diharapkan kiriman bunga itu dapat mengikat semua kedua-dua hati yang kini sedang dibadai gelora.
Semoga ada sinar di hujung terowong hubungan mereka dan menjadikan fasa perceraian ini sebagai dugaan rumah tangga.
Tidak hanya itu, sempena hari ulang tahun kelahiran ke-41, Fazura mengharapkan hari jadinya itu dapat menjadi permulaan baharu dalam kehidupan.
“Permulaan sebuah janji, untuk lebih sayangi diri sendiri. 27.09.2024,” katanya menerusi sebuah hantaran dalam Instagram.
Sebenarnya, fitrah wanita itu lembut hatinya. Jika kena cara pujukan, hati yang sekeras besi boleh dicairkan.
Semoga bahtera cinta pasangan kesayangan ramai ini dapat diselamatkan atau paling tidak pun, dapat diselesaikan secara baik demi puteri tunggal mereka, Fatima.