fbpx

PRK DUN Mahkota: Kemenangan ini hadir bersama amanah yang berat – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid memuat naik poster ucapan tahniah buat calon BN PRK Mahkota Syed Hussien yang berjaya menewaskan calon PN, Mohamad Haizan.

PETALING JAYA – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dianggap merupakan amanah yang berat dan tanggungjawab tidak boleh diabaikan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan di PRK Nenggiri dan Mahkota bukanlah asbab untuk partinya mendabik dada, jauh sekali untuk berasa megah dan selesa.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, ia adalah isyarat yang jelas daripada rakyat bahawa BN harus berusaha lebih kuat untuk memberikan terbaik demi kehidupan lebih sempurna di masa akan datang.

“Syukur alhamdulillah, sekali lagi Allah menganugerahkan kemenangan kepada calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Syed Hussien Syed Abdullah, dengan majoriti luar biasa melebihi 20 ribu.

“Insya-Allah, kami akan terus memperbaiki haluan perjuangan ini, menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan untuk UMNO dan BN, Kerajaan Perpaduan, dan seluruh rakyat Malaysia,” tulisnya dalam hantaran di Facebook.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyifatkan kemenangan tersebut adalah legasi jasa tidak ternilai Allahyarhamah Sharifah Azizah yang telah mencurahkan seluruh jiwa raga kepada DUN Mahkota.

“Jasanya kekal dalam ingatan dan menjadi sumber aspirasi kami untuk terus berkhidmat menyantuni rakyat di DUN ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada 35,791 pengundi DUN N29 Mahkota yang telah memberikan mandat kepada kami untuk terus menabur bakti di bumi Kluang, Johor yang tercinta ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga menzahirkan rasa terima kasih buat seluruh jentera BN dan rakan-rakan komponen Kerajaan Perpaduan yang berkampung di Mahkota yang menjadi pemangkin kepada kejayaan ini.

Katanya, penghargaan diberikan terutamanya buat seluruh jentera Johor yang diterajui Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberi sokongan moral sekali gus mempercayai kejayaan ini menandakan penerimaan rakyat kepada tadbir urus dan kepimpinan beliau.

“Buat anakanda Syed Hussien, ingatlah bahawa budi mesti dibalas, kata perlu dikota, janji wajib ditepati. Buatlah terbaik untuk #MahkotaKita,” katanya.

Terdahulu, Syed Hussien Syed Abdullah menewaskan pencabarnya, calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar pada PRK DUN Mahkota.

Syed Hussien menang dengan 27,995 undi, manakala pencabarnya Mohamad Haizan hanya memperoleh 7,347 undi.

Secara keseluruhannya DUN Mahkota mempunyai 66,318 pengundi dengan majoritinya ialah pengundi Melayu iaitu 56 peratus, pengundi Cina (34 peratus), pengundi India (lapan peratus) dan bakinya lain-lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI