PETALING JAYA – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Skuad Sabil Kebangsaan mengerahkan 2,000 anggota sukarelawan Skuad Sabil daripada seluruh negara untuk membantu mangsa-mangsa banjir di tiga negeri yang terjejas teruk terutamanya Pahang, Johor dan Terengganu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, gerak kerja sukarelawan Skuad Sabil ini akan diselaraskan bersama dengan Pemuda UMNO Negeri dan Skuad Sabil Negeri .
“Penyelarasan ini dilakukan memandangkan Skuad Sabil Negeri juga terlibat dalam Jawatankuasa Bencana Kerajaan di peringkat Negeri khususnya Pahang dan Johor.
“Antara fokus gerak kerja termasuklah untuk membantu kerja-kerja sukarela di Pusat-Pusat Pemindahan Banjir, kerja-kerja pembersihan pasca banjir termasuk tempat-tempat awam seperti Sekolah, Masjid, Rumah-rumah Ibadah, Balai Raya dan rumah mangsa-mangsa banjir,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Asyaraf, pihaknya juga mengalu-alukan sebarang sumbangan orang ramai untuk membantu kerja-kerja amal kebajikan Skuad Sabil dan Sukarelawan Pemuda UMNO Malaysia.
“Sumbangan anda boleh disalurkan ke akaun Pemuda Umno Malaysia, CIMB Bank Berhad 8000632311. Semoga bantuan anda akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang dilanda musibah ketika ini,” jelasnya. – K! ONLINE