KUALA LUMPUR – Pelumba berbakat negara, Farish Hafiy Farid Sezli berjaya menaiki podium tempat ketiga pada perlumbaan Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) di Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia sebentar tadi.
Pada perlumbaan tersebut, Farish yang memulakan aksi dipetak ketiga bermula dengan baik apabila beberapa kali mendahuli perlumbaan Pusingan 3 ATC tersebut.
Bagaimanapun, Farish ditentang hebat tiga pelumba Jepun yang menyebabkan dia ketinggalan diposisi keempat sebelum kembali memimpin perlumbaan pada pusingan terakhir.
Ketika Farish hampir untuk mencipta kemenangan sulung di ATC, dia gagal mengekalkan kedudukan selepas dipintas dua pelumba Jepun, Zen Mitani dan Seiryu Ikegami di pusingan terakhir.
Farish yang cuba mencari ruang untuk berada di podium hampir terjatuh selepas dihimpit pelumba Indonesia, Kiandra Ramadhipa di selekoh terakhir.
Biarpun menamatkan perlumbaan tempat keempat namun Farish diangkat berada di pentas podium selepas pelumba Indonesia, Kiandra dikenakan penalti enam saat atas kesalahan menunggang secara berbahaya.
Kiandra dikenakan hukuman penalti tersebut kerana menjadi penyebab pelanggaran hingga menyebabkan pelumba Jepun, Ryota Ogiwara terjatuh beberapa meter sebelum menuju ke garisan penamat.
Hasil keputusan tersebut, Mitani yang menjuarai perlumbaan tersebut berada di kedudukan teratas carta kedudukan dengan mengumpul 120 mata dan Kiandra yang diturunkan posisi keenam perlumbaan berada di tangga kedua keseluruhan dengan 81 mata.
Pelumba Jepun, Riichi Takahira berada di tangga ketiga (74 mata), pelumba Thailand, Kiattisak Singhapong keempat (55 mata) dan Farish kini menghuni tangga kelima dengan mengumpul 51 mata. -KOSMO! Online