fbpx

Di mana Jack Ma?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jack Ma didakwa sudah dua bulan 'ghaib' dan tidak aktif di media sosial. - AFP

BEIJING – Jutawan teknologi China, Jack Ma dilaporkan tidak dilihat di khalayak umum lebih daripada dua bulan selepas berdepan konflik dengan Presiden Xi Jinping.

Ma, salah seorang hartawan China lantang mengkritik pengawal selia kewangan ‘pajak gadai’ negara itu dan bank-bank milik pemerintah dalam ucapan pembakar semangat di Shanghai pada Oktober tahun lalu.

Dia meminta reformasi sistem yang menyekat inovasi perniagaan dan menyamakan peraturan perbankan global dengan kelab orang lama.

Ucapan itu menimbulkan kemarahan pemerintah China yang memandang kritikan Ma sebagai serangan terhadap Parti Komunis dan menyebabkan tindakan ‘luar biasa’ diambil terhadap aktiviti perniagaan Ma.

Pada November tahun lalu,  pegawai di Beijing melancarkan siasatan dalaman ke atas Ma dan menangguhkan tawaran awam awal Kumpulan Ant miliknya yang berjumlah AS$37 bilion (RM150 bilion) atas arahan Presiden Xi, lapor Wall Street Journal.

Mereka kemudian menasihati Ma untuk kekal berada di China sebelum melancarkan siasatan anti-monopoli terhadap Alibaba Group Holding pada malam Krismas, menurut Bloomberg. 

Beijing juga memerintahkan syarikat teknologi kewangan Ma, Ant Group untuk memperlahankan operasinya.

Akibat insiden tersebut, Ma didakwa lenyap dan tidak memunculkan diri di khalayak ramai termasuk gagal hadir sebagai juri tetap bagi kemuncak program realiti anjurannya, Africa’s Business Heroes yang berlangsung lewat November tahun lalu.

Jurucakap Alibaba memberitahu akhbar Financial Times bahawa Ma tidak dapat meneruskan komitmen menjadi anggota panel penghakiman kerana konflik jadual taikun itu.

Selain itu, bapa tiga orang anak yang sebelum ini sangat aktif di Twitter turut tidak menunjukkan sebarang aktiviti di media sosial sejak ‘kehilangannya’ dilaporkan.

Siasatan anti-monopoli menyebabkan saham Alibaba turun satu per empat selepas berjaya mencapai keuntungan tertinggi pada Oktober lalu.

Kejatuhan saham itu mengakibatkan jutawan itu kehilangan AS$10 billion (RM40 bilion) daripada nilai kekayaan atas kertas miliknya.

Ia turut menolak Ma ke tempat ketiga dalam senarai orang terkaya di China, di belakang Ketua Eksekutif Pinduoduo, Colin Huang dan Pony Ma dari Huateng Tencent Holdings.

Menurut Bloomberg Billionaires Index, Ma kini mempunyai anggaran nilai bersih semasa sebanyak AS $63.1 bilion (RM253 bilion). – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI