fbpx

Tambah baik peruntukan bidang keusahawanan – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari (kiri) melawat reruai pameran pada program Pemerkasaan Wanita 2024 Parlimen Titiwangsa di Bangunan TLKB PPR Hiliran Ampang, Kuala Lumpur. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menambah baik peruntukan kepada agensi yang berkait dengan keusahawan sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada rakyat untuk menceburi bidang perniagaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, hal ini kerana penglibatan rakyat dalam keusahawanan bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan, malah membantu negara dari segi pembangunan ekonomi.

“Di samping bantuan pendidikan, elemen (keusahawan) sangat penting untuk diberi tumpuan. Contohnya agensi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) khusus bidang keusahawanan.

“Kena ada spesifik peruntukan kerana kita kena galakkan, walaupun nampak kadang-kadang kejayaan itu cuma 30 atau 40 peratus, tapi keusahawanan ini dapat lahirkan banyak pekerjaan,” katanya kepada media pada Program Pemerkasaan Wanita di Hiliran Ampang di sini, hari ini.

Berhubung program hari ini, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, ia bertujuan memperkasakan wanita dalam bidang keusahawanan serta dianjurkan oleh Mara di 48 kawasan termasuk di Parlimen Titiwangsa.

“Kursus ini penting yang mana usahawan ini secara tak langsung mereka ialah ejen pembangunan ekonomi, boleh mewujudkan banyak peluang kerja serta membantu kerajaan membasmi kemiskinan.

“Kemiskinan ini kerajaan boleh bantu, tapi tak sepanjang masa. Jadi kita beri latihan usahawan ini bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan kecil sebagai pendapatan sampingan,” ujarnya.

Ditanya mengenai pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini, Johari berkata, kementeriannya sentiasa menekankan peruntukan wang untuk penanaman semula sawit terutama kepada pekebun kecil.

“Banyak pekebun kecil ini pokok mereka dah tua, lebih 20 tahun, buah juga dah kurang. Kalau dapat tanam semua, pendapatan mereka berterusan lah.

“Dari segi pihak industri, mereka datang jumpa kementerian untuk tekankan sama ada kerajaan boleh lihat semua levi keuntungan luar biasa untuk industri sawit,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI