fbpx

Scammer datang rumah minta gold bar, dinar emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun rugi RM670,994 selepas ditipu sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai unit khidmat pelanggan Putrajaya dan polis, pada 20 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa semalam dengan mangsa telah dihubungi individu yang kononnya dari unit khidmat pelanggan, Putrajaya.

“Nombor telefon mangsa dikatakan telah disalahgunakan dalam kes jenayah siber dan mangsa perlu memohon perlindungan data peribadi serta perlindungan dana.

“Panggilan kemudian disambungkan kepada pihak ‘polis’ yang seterusnya memaklumkan mangsa turut terlibat dalam kes penggubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa diarahkan mengumpulkan semua wang simpanannya ke satu akaun bank milik mangsa sendiri selain menyerahkan maklumat perbankan kepada pihak ‘polis’.

“Mangsa juga diarahkan menyerahkan semua barang kemas dan ‘gold bar’ kepada individu yang datang mengambil barangan tersebut di rumah mangsa,” tambahnya.

Secara keseluruhannya, mangsa mengalami kerugian wang tunai, barang kemas, dinar emas dan gold bar bernilai RM670,994 dan kes disiasat di bawah seksyen 420 kanun keseksaan.

Mengulas lanjut mengenai kes jenayah penipuan dalam talian, Ramli berkata, sejumlah 86,266 individu telah menjadi mangsa sejak 2021 hingga tahun lalu dan daripada jumlah itu, 5,533 mangsa atau 6.4 peratus dalam kalangan individu berumur 61 tahun ke atas.

“Angka yang hampir sama juga dicatatkan pada tahun ini di mana daripada 21,535 kes penipuan dalam talian direkodkan sehingga Ogos ini, 1,916 mangsa atau 8.9 peratus adalah warga emas,” ujarnya.

Walaupun bilangan mangsa dalam kalangan warga emas adalah kecil berbanding kelompok umur yang lain, namun nilai kerugian yang dialami oleh warga emas adalah tinggi, sekali gus menjadikan mereka sasaran yang berkualiti.

“Sepanjang tiga tahun, jumlah kerugian keseluruhan yang dicatatkan bagi kes-kes penipuan dalam talian adalah sebanyak RM2,768,396,952.40.

“Dari jumlah ini, kerugian melibatkan mangsa warga emas adalah RM552,512,422.66 atau bersamaan 20 peratus.

Hal yang sama direkodkan bagi tahun ini, sehingga Ogos, kerugian melibatkan mangsa warga emas telah mencecah RM255,367,680.39 atau bersamaan 27.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan iaitu RM914,051,236.30. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN