MENGEJAR reda Ilahi bukanlah satu perkara yang mudah bagi Daniel (bukan nama sebenar) memandangkan dia tidak membesar dalam suasana islamik.
Namun, setelah bertahun-tahun hidup bergelumang dosa, hatinya dijentik hidayah untuk kembali ke pangkal jalan, namun tersasar pula ke jalan yang salah.
Bersama Panorama, lelaki berusia 42 tahun itu berkongsi cerita tentang pengalamannya terjebak dalam kumpulan ajaran sesat pada 15 tahun yang lalu.
Semuanya bermula apabila pekerja di sebuah bank swasta tersebut mengikuti kelas usrah yang diadakan di sebuah pusat peranginan.
Pada ketika itulah dia bertemu dengan seorang rakan bernama Ali (bukan nama sebenar) yang turut memiliki jalan cerita hidup seperti dirinya.
Menurut Daniel, perkongsian Ali berkenaan kumpulan keagamaan yang membantunya mendapat pengampunan Allah menarik perhatiannya.
“Ali memberitahu saya tentang satu kumpulan keagamaan yang boleh membantu saya ‘cuci’ dosa saya dan bantu saya jadi seperti bayi baru lahir.
“Saya sangat tertarik kerana saya sangat menyesali perbuatan saya selama ini. Saya akui saya jahil apabila berkaitan dengan agama, jadi saya tak tahu asas-asas akidah,” luahnya kepada Panorama.
Enggan mendedahkan nama kumpulan yang diikutinya, Daniel mendedahkan bahawa kumpulan itu sangat menyanjungi tok guru mereka kerana dia dikatakan keturunan Nabi Muhammad SAW.
Bahkan, setiap keputusan dalam kehidupan ahli-ahli kumpulan tersebut perlu mendapat persetujuan tok guru kerana dia dikatakan memiliki darjat yang tinggi sehingga sering dapat ‘wahyu’ dari Tuhan.
Kumpulan tersebut juga memiliki pelbagai pantang larang yang perlu dipatuhi ahli-ahlinya seperti perlu sentiasa berpakaian warna hitam dan perlu menghadiri perhimpunan kumpulan mereka pada setiap minggu.
Jelas Daniel, perkara yang paling tidak dilupakannya adalah upacara mandi air rendaman kaki tok guru yang dikatakan mampu menyuci segala dosa-dosanya.
“Pada waktu itu, saya ikut sahaja sebab saya terdesak mahu kembali ‘suci’ dan diterima Allah tanpa berfikir dengan logik.
“Tapi sayakan jahil dan tidak pernah belajar agama dengan mendalam. Jadi, saya percaya orang agama bulat-bulat,” jelasnya.
Mungkin takdir Allah, Daniel mula terasa seperti terdapat sesuatu yang tidak kena apabila disuruh mencari ahli kumpulan yang baharu seperti sistem multi-level marketing (MLM).
Daniel mula mendapatkan nasihat daripada ustaz di masjid berdekatannya dan dia terkejut apabila diberitahu bahawa pegangannya itu menyalahi akidah.
Rentetan itu, Daniel mula mengasingkan diri daripada kumpulan tersebut, namun dia terus dicari oleh ahli kumpulan tersebut.
“Saya ambil keputusan untuk tukar nombor telefon dan pindah rumah. Saya dengar kumpulan itu tidak lagi aktif kerana kegiatan mereka sudah dihidu pihak berkuasa dahulu.
“Alhamdulilah, zaman dahulu tak ada internet. Jadi mereka tidak dapat jejak saya selepas saya putuskan semua hubungan dan komunikasi,” jelasnya.