PETALING JAYA – Pekerja di sebuah syarikat swasta dianggap bertuah kerana ‘dimanjakan’ oleh bos mereka yang memenuhi pantri pejabat dengan pelbagai pilihan makanan dan snek.
Menerusi video tular yang dimuat naik @rabbitsscute di TikTok, kelihatan rak pantri pejabat itu meriah dengan snek dan mi segera bagi menjamu para pekerja di pejabat itu.
Selain itu, pelbagai serbuk bancuhan segera turut disediakan majiikan selain biskut dan air tin yang akan sentiasa ditambah dari semasa ke semasa tanpa sebarang had.
“Dalam pejabat ada lima ‘ketul’ staf je, tapi dapat bos yang ‘provider’. Kopi macam-macam jenis ada. Biskut ni bila habis je bos akan tambahkan dan boleh makan sambil kerja,” tulisnya dalam video itu.
Sehingga kini videonya mendapat 489,800 tontonan, 36,800 tanda suka dan 8,985 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang memuji usaha majikan tersebut sekali gus menganggap para pekerja di syarikat itu sangat beruntung.
“Ni pejabat ke kedai runcit ke koperasi? Syarikat mana ni, nak mohonlah. Kalau macam ni tak sempat rasa lapar, asyik kenyang je,” komen Zulaikha.
“Sama macam bos saya. Dia (bos) siap kata ‘dekat pantri tu saya tengok makanan tak gerak’. Padahal makanan dia akan ‘topup’ setiap minggu,” komen Abey pula.
“Harap dapat kerja dengan syarikat tak kedekut macam ni. Boleh makan ‘lunch’ tak perlu makan luar atau bawa bekal. Jimat kos sikit,” komen Anis pula. – KOSMO! ONLINE