fbpx

Operasi besar-besaran MBKT banteras aktiviti tidak bermoral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian 17 pelayan Thailand berpakaian ala jururawat ditahan dalam serbuan JIM di sebuah pusat hiburan di Kuala Terengganu kelmarin.

KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan melaksanakan operasi besar-besaran menggempur premis perniagaan di bandar raya ini yang berselindung di sebalik lesen sah untuk melakukan aktiviti tidak bermoral.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, operasi penguatkuasaan itu berikutan pendedahan penggunaan gadis Thailand berpakaian ala jururawat sebagai ‘pelaris’ di sebuah premis hiburan yang dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada kelmarin.

Beliau berkata, operasi bersepadu tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain seperti JIM, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pekerja wanita Thailand itu bukan sahaja tidak memiliki permit dan dokumen perjalanan sah malah premis perniagaan tersebut juga didapati menyalahguna lesen operasi restoran.

“Ia merupakan premis perniagaan kedua yang dikesan menyalahguna lesen perniagaan untuk melakukan aktiviti tidak bermoral di bandar raya ini dalam tempoh kurang dua bulan,” katanya ketika ditemui pada program Cuci Malaysia peringkat Terengganu di Pantai Batu Burok di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Kosmo! semalam berhubung serbuan JIM yang menahan 17 wanita warga Thailand berpakaian ala jururawat sewaktu sedang melayan pelanggan di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini.

Pemeriksaan mendapati kesemua wanita warga asing terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

Rosli berkata, MBKT telah bertindak tegas membatalkan serta-merta lesen perniagaan pusat hiburan berkenaan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2002. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI