fbpx

MRSM Terendak paling daif dalam negara – Asyraf Wajdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASYRAF ketika membuat pemeriksaan di tandas MRSM Kem Terendak di Sungai Udang, Melaka, hari ini.

MELAKA – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Sungai Udang di sini dikategorikan MRSM paling daif dalam negara dengan pelbagai masalah kemudahan termasuk keadaan tandas serta bilik guru yang ‘menyeramkan’.

Perkara itu didedahkan sendiri Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang membuat pemeriksaan mengejut di pusat pengajian itu hari ini susulan kejadian 48 pelajar mengalami keracunan makanan.

“Keadaan saya boleh katakan, MRSM Kem Terendak adalah paling teruk berbanding 39 daripada 57 MRSM yang telah saya lawati, terutama tandas dan bilik guru yang langsung tidak boleh digunakan.

“Benda-benda ini tidak sepatut berlaku di sekolah itu yang mempunyai 663 pelajar dan saya ambil perkara ini secara serius dengan mengarahkan pengetua buat senarai (fasiliti yang uzur) dalam tempoh sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW 2024 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga telah meluluskan peruntukan segera berjumlah RM400,000 bagi menyelesaikan isu tersebut.

Mengulas lanjut mengenai keadaan pelajar yang mengalami keracunan, beliau memberitahu mereka yang terlibat adalah pelajar daripada Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua dengan lapan orang pelajar dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, malam tadi.

“Kesemua mereka yang mengalami gejala keracunan makanan telahpun dirawat dan dibenarkan pulang ke asrama selepas beransur pulih.

“Tadi Pejabat Kesihatan juga telah membuat pemeriksaan di Dewan Selera dan mendapati keadaan dapur sangat kotor yang mana ada tahi tikus, jadi kompaun telah dikeluarkan terus kepada pengusaha makanan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI