MIAMI, Florida – Satu rakaman video yang memaparkan detik menakutkan sebuah jambatan besar di negeri Florida bergegar dengan kuat, menjadi tular di Amerika Syarikat, lapor saluran televisyen NDTV hari ini.
Kejadian berlaku ketika Taufan Helene membadai negeri Florida.
Rakaman itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan sengit dalam kalangan netizen, dengan ramai tidak percaya dan mempersoalkan impak ribut kuat itu.
Klip video itu dikongsi akhbar Britain, Daily Mail di laman Instagram. Ia menunjukkan jambatan itu bergoyang dengan kuat apabila angin kencang melanda kawasan tersebut.
Rakaman itu disertakan kapsyen berbunyi, “Taufan Helene bersedia untuk membadai Florida hari ini”.
Ramai penonton terkejut dan takut dengan imej tersebut.
Ada yang mengulas bahawa tiada yang akan terselamat dalam senario seperti itu. Bagaimanapun, tidak semua orang yakin dengan ketulenan video tersebut.
Sebilangan netizen berkata, sebenarnya bergegar adalah kamera yang digunakan dan bukannya jambatan tersebut.
“Jambatan ini tidak bergegar. Ia adalah adalah angin yang menggegarkan kamera,” kata seorang netizen.
Seorang netizen lain berkata: “Berhenti cuba mencetuskan panik. Hanya kamera yang bergerak.” – AGENSI