PUTRAJAYA – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat syarikat kontraktor air yang didakwa menjadi punca kepada kemelut air yang berlaku di negeri Sabah.
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sebanyak tiga dokumen telah diserahkan oleh pihaknya hari ini kepada SPRM untuk tujuan penelitian berhubung masalah tersebut.
“Wujud tuduhan-tuduhan tertentu yang kita tidak pasti kesahihannya mengenai kontraktor baharu (yang dilantik oleh kerajaan negeri terdahulu), sebab itu kita hadir ke sini (SPRM) untuk buat penyerahan dokumen.
“(Kita) meminta pihak SPRM (siasat) kerana isu ini sudah jadi kepentingan umum, kita difahamkan kontraktor baharu ini ada sesuatu dengan kerajaan (negeri) terdahulu, jadi kita minta (supaya) SPRM dapat menyiasat kontraktor yang baharu ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Selain itu, Zulkarnain turut mendakwa bahawa syarikat kontraktor berkenaan didapati gagal untuk menguruskan isu-isu bekalan air yang berlaku di Sabah.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata, masalah air di Sabah menjadi bertambah buruk susulan tindakan kerajaan sebelum ini menamatkan konsesi sembilan syarikat yang mengurus operasi loji rawatan air (LRA) di seluruh Sabah.
Bagaimanapun, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menerusi satu kenyataan berkata, tindakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menuding jari terhadap Parti Warisan yang didakwa punca masalah air semakin teruk, disifatkan satu cubaan untuk menutup kelemahan dan kegagalan sendiri. – KOSMO! ONLINE