fbpx

Tup tup bercerai, masih dalam terma baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Harith dan beberapa rakan selebriti lain yang berdepan dengan perceraian mengejut.

INDUSTRI hiburan sekali lagi digemparkan dengan kes perceraian pasangan selebriti popular dan kali ini melibatkan dua nama besar iaitu Fattah Amin dan Fazura.

Jiwa seperti direntap dan dihiris tatkala mendapat khabar duka tersebut. Itu yang dirasai dan diluah oleh segelintir peminat pasangan tersebut. 

Manakan tidak, tiada angin tiada ribut, Fazura nekad memfailkan cerai terhadap suami tercinta selepas tujuh tahun melayari bahtera rumah tangga bersama.

Sama seperti pasangan selebriti lain yang melalui ambang keretakan rumah tangga, mereka turut dihujani doa agar perceraian tersebut tidak menjadi realiti. 

Minggu ini, HibGlam membawa empat kes cerai selebriti yang tidak dijangka ramai dan mengejutkan industri seni tanah air.

  • Vanida Imran, Rashidi Ishak

SELEPAS 17 tahun melayari bahtera cinta bersama, pasangan pelakon Rashidi Ishak dan Vanidah Imran akhirnya berpisah pada 9 Ogos 2018. 

Perpisahan pasangan tersebut mengejutkan orang ramai dan Rashidi mengakui kelemahannya dalam memimpin rumah tangga menjadi penyebab perceraian itu.

Hasil perkahwinan yang terbina sejak Oktober 2000, mereka dikurniakan dua anak iaitu Mikhail Imram dan Maryam Rashika.

Kini, kedua-duanya sudah mendirikan rumah tangga sekali lagi. Vanidah kembali bergelar isteri kepada seorang jurutera dikenali Arifabillah Idris pada Julai 2022.

Sementara Rashidi pada Februari tahun lalu selamat bernikah dengan pengarah drama, Wan Hasliza Wan Zainuddin.

  • Harith Iskander, Jezamine

NAMPAK bahagia tetapi hakikatnya kemelut rumah tangga Harith Iskander dan Dr. Jezamine Lim sudah berlarutan selama beberapa tahun.

Nekad, Jezamine mengundang perhatian ramai apabila memfailkan cerai terhadap Harith pada 8 Julai lalu.

Rumah tangga selama 12 tahun yang dibina akhirnya bernoktah apabila mereka disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 25 Julai lalu. 

Perceraian tersebut berlaku disebabkan tiada lagi persefahaman antara mereka. 

Perpisahan tersebut turut mengejutkan banyak pihak kerana tidak menyangka rumah tangga pasangan itu selama ini tidak dihambat sebarang kontroversi berakhir seperti beberapa pasangan selebriti lain.

Harith dan Jezamine mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne, 9.

 

  • Ellie Suriaty, Azri Iskandar

Selepas 19 tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon dan pengarah Ellie Suriaty Omar disahkan bercerai dengan suaminya, Azri Iskandar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur (Keramat), Kuala Lumpur pada Mei 2022.

Perceraian itu terjadi kerana mereka sudah tidak serasi untuk meneruskan kehidupan bersama.

Hasil perkahwinan pasangan ini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Azrell Omar Azri Iskandar, 18, dan Nur Azreen, 13 tahun.

Meskipun sudah berpisah, kedua-dua mereka masih menjalin hubungan baik malah saling membantu untuk persiapan perkahwinan masing-masing.

  • Nora Danish, Nedim

Selain Fattah dan Fazura, perceraian Nora Danish dan Nedim Nazri Aziz antara yang paling mengejutkan industri seni tanah air tahun ini.

Tiada perbalahan mahupun sengketa, kedua-dua mereka disahkan bercerai talak satu dalam sebuah prosiding tertutup pada waktu malam di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada 19 Jun lalu.

Sepakat secara baik, Nora bagaimanapun menyangkal dakwaan masalah kewangan jadi punca perpisahan.

Mereka juga mahu mengekalkan hubungan baik demi anak-anak bahkan turut dihujani pujian ramai kerana saling tidak melondehkan keaiban masing-masing.

Nora yang kini berhijab bernikah dengan Nedim pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl kini berusia enam tahun.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI