fbpx

Wanita bebas tuduhan timbulkan kegentaran awam berkaitan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan seorang wanita daripada pertuduhan menimbulkan kegentaran awam dengan mendakwa tiga murid di Perak dan seorang pelajar di Sabah meninggal dunia akibat suntikan vaksin Covid-19, tiga tahun lalu.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin memutuskan demikian terhadap Liyana Razali tanpa memanggilnya membela diri selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

“Mahkamah berpuas hati butiran pernyataan tertuduh berkenaan kematian pelajar di Ipoh dan di Lahad Datu selepas divaksin adalah tidak benar,” ujar beliau dalam penghakiman bertulis bertarikh 1 September lalu yang diperoleh pihak media dari laman web mahkamah, hari ini.

Irza Zulaikha berpendirian, tidak timbul keraguan bahawa tertuduh merupakan individu yang membuat pernyataan dalam video itu kerana dia dicamkan oleh saksi pendakwaan ketika memberi keterangan di mahkamah.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh berniat menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam sehingga boleh menyebabkan masyarakat terdorong melakukan kesalahan berkaitan ketenteraman awam.

Ujarnya, ini kerana tidak terdapat sebarang laporan polis atau aduan dibuat oleh orang awam mahupun saksi yang dikemukakan yang menunjukkan berlaku kegentaran awam selepas mendengar kenyataan tertuduh.

“Saksi awam yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan hanyalah bapa pelajar yang meninggal dunia,” ujar beliau dalam alasan penghakimannya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan pada 13 Jun lalu di Mahkamah Tinggi untuk merayu keseluruhan perintah Mahkamah Majistret.

Liyana didakwa atas pertuduhan pindaan kerana membuat kenyataan di `Lampiran A’ yang mungkin menyebabkan kegentaran awam kepada masyarakat yang mendorong mereka melakukan kesalahan terhadap ketenteram awam.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 9.17 pagi, 28 September 2021 di Kementerian Pengajian Tinggi di sini dan dituduh mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dendan atau kedua-duanya sekali.

Kenyataan pada `Lampiran A’ itu antara lain mendakwa tiga pelajar di Ipoh, Perak dan seorang lagi di Lahad Datu, Sabah yang meninggal dunia selepas mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Menurut fakta kes, pernyataan dalam `Lampiran A’ diperoleh daripada rakaman audio-visual yang tular dan dimuat naik oleh individu tidak dikenali yang memaparkan kenyataan tertuduh berkaitan kematian pelajar-pelajar berkenaan.

Pada perbicaraan lalu, seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala 37 eksibit dikemukakan di mahkamah.

Dalam kes itu, seorang pegawai pendidikan kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Perak (SP1)mendapat arahan untuk membuat laporan polis selepas menonton video pernyataan tertuduh yang didakwa tidak berasas dan berunsur fitnah.

Mahkamah turut mendengar keterangan seorang pengetua sekolah menengah (SP2) yang mengesahkan tiada kematian pelajarnya akibat suntikan vaksin seperti yang didakwa.

Selain itu, dua saksi lain iaitu bapa pelajar-pelajar yang meninggal dunia itu (SP5 dan SP6) mengesahkan anak mereka tidak mengambil vaksin.

Sementara itu, seorang pegawai kesihatan di Lahad Datu (SP8) turut memberi keterangan bahawa tiada kematian akibat suntikan seperti yang didakwa selepas membuat semakan di semua hospital, klinik kesihatan dan klinik swasta di daerah itu.

Pihak pendakwaan sebelum itu menghujahkan, tertuduh telah menyampaikan berita kematian dengan cuba mengaitkannya dengan program vaksinasi negara bagi melawan Covid-19 sehingga mendatangkan prasangka buruk terhadap usaha kerajaan.

Perbuatan tertuduh menyebabkan SP1, SP2 dan SP11 marah dan terkilan kerana ia mengakibatkan ibu bapa mangsa dan masyarakat setempat menelefon Jabatan Kesihatan Negeri Perak untuk mencari kesahihan berita kematian tersebut.

Hujah pendakwaan juga, perasaan ibu bapa pelajar (SP5 dan SP6) yang dikatakan meninggal dunia akibat vaksin juga tidak dijaga dan seolah-oleh digunakan sebagai bahan ucapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI