fbpx

Citaglobal meterai kerjasama, melabur dalam Lawi Germany

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Citaglobal Bhd (Citaglobal) telah memeterai lembaran syarat pembentukan kerjasama (binding term sheet) dengan syarikat teknologi dan kejuruteraan Sisa-Kepada-Tenaga (WTE) dari Jerman, Lawi Engineering GmbH (Lawi Germany).

Pemeteraian tersebut adalah  untuk perbincangan eksklusif serta kerjasama menawarkan penyelesaian teknikal dan kejuruteraan Lawi Germany. 

Penyelesaian tersebut merangkumi sistem pembakaran berteknologi tinggi, reka bentuk dan kejuruteraan dandang, termasuk produk-produk berpatennya seperti Lawi EtaComb®, Lawi EtaPlant®, dan Lawi EtaLogic® kepada projek pengurusan sisa yang dikenal pasti dan disasarkan oleh Citaglobal serta entiti berkaitannya.

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Mohamad Norza Zakaria berkata, kerjasama eksklusif ini akan membolehkan kedua-dua pihak menjana pendapatan melalui pelesenan teknologi serta produk Lawi Germany kepada rakan kongsi yang berpotensi, selain menyediakan perkhidmatan kejuruteraan yang komprehensif.

Mohamad Norza

“Peluang dalam sektor pengurusan sisa dan WTE sangat besar, terutamanya dengan kehadiran rakan teknologi yang berwibawa seperti Lawi Germany di teras Bahagian Pengurusan Sisa Kumpulan kami. 

“Kerjasama ini memberikan kedudukan yang kukuh untuk mendapatkan kontrak dan meneroka peluang pelesenan strategik dengan negara jiran, sekali gus memberi nilai tambah kepada pemegang kepentingan kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Ditubuhkan pada tahun 1996, Lawi Germany adalah peserta terkemuka dalam reka bentuk dan pembinaan sistem berkecekapan tinggi untuk penggunaan termal sisa pepejal. 

Kepakaran Lawi Germany adalah dalam teknologi loji kuasa yang diperbaharui, terutamanya dalam WTE.

Syarikat ini telah menyiapkan lebih daripada 50 projek loji kuasa dengan kadar kejayaan 100 peratus dalam tempoh tiga dekad yang lalu di Asia Tenggara, Korea, dan Eropah.

Selain itu, Citaglobal baru-baru ini telah menubuhkan Bahagian Pengurusan Sisa baharu untukperniagaan pengurusan sisa dan aktiviti berkaitan dalam Kumpulan, hasil kerjasama antara Citaglobal dan kumpulan Shanghai SUS Environment Co., Ltd. (SUS).

Pada pertengahan Julai tahun ini, Citaglobal telah menandatangani perjanjian rangka pembangunan bersama (JDFA) dengan SUS Holding Limited, anak syarikat milik penuh SUS, entiti berkaitan kerajaan China, bagi membangunkan projek WTE di Pahang dan projek biomass di Malaysia.

Kerjasama eksklusif dan potensi pelaburan dalam LAWI Germany akan diselia di bawah Bahagian Pengurusan Sisa ini. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI