fbpx

Hampir 5,000 penyertaan bagi Larian Keluarga Malaysia 2024 Ahad ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LKM 2024 yang bakal berlangsung Ahad ini berjaya menarik hampir 5,000 penyertaan merentasi pelbagai negara dan peringkat usia.

PETALING JAYA – Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 yang bakal dianjurkan pada Ahad ini berjaya menarik hampir 5,000 penyertaan merentasi pelbagai negara dan peringkat usia.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sambutan di luar jangka ini turut mendapat penyertaan daripada 10 negara seperti Kenya, Mesir, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Indonesia.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, LKM 2024 merupakan acara larian yang kali pertama dianjurkan oleh Yayasan Keluarga Malaysia dan penyertaan diterima amat memberangsangkan.

“Sebelum ini, YKM menyasarkan sebanyak 3,000 peserta sahaja, bagaimanapun sambutan amat luar biasa.

“LKM 2024 adalah larian amal untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu, bapa, ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri turut melahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang menyokong larian ini khususnya rakan-rakan strategik seperti Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (YAKEB) dan pelbagai agensi terlibat.

Acara larian yang akan berlangsung nanti terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori 5 kilometer (km) (fun run) 10km (race) dan 21km (half marathon).

Ismail Sabri bakal menyertai acara ‘fun run’ untuk lima kilometer bersama bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba bersama lebih 40 anak- anak yatim dan yatim piatu YKM bermula pukul 7.15 pagi.

Sebelum itu, beliau akan melepaskan peserta bagi kategori 21km pada pukul 6.30 pagi dan 10km (pukul 7 pagi).

Sementara itu, Race Pack Collection akan diadakan esok bagi peserta-peserta yang telah mendaftar di Dewan Semarak, Cyberjaya bermula pukul 10 pagi sehingga 8 malam.

Cabutan bertuah bernilai lebih RM70,000 akan menanti para peserta yang mendaftar seperti sebuah kereta Perodua Axia, pakej percutian, pakej penginapan dan sarapan, televisyen, basikal, peralatan elektrik serta pelbagai hadiah menarik lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI