LONDON – Penjaga gol utama Arsenal, David Raya dilaporkan mengalami kecederaan sekali gus mencetuskan kebimbangan untuk diturunkan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester City di Stadium Etihad malam ini.
Bintang Sepanyol berusia 29 tahun itu diketepikan dalam kemenangan 5-1 Arsenal ke atas Bolton Wanderers pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) kelmarin di mana penjaga gol muda, Jack Porter menggantikan tempatnya.
Sebelum perlawanan, Raya tampil cemerlang ketika Arsenal seri 2-2 menentang Manchester City hujung minggu lalu, namun dilaporkan mengalami kecederaan dan meninggalkan Etihad dalam keadaan terhincut-hincut.
Kecederaan tersebut membuka peluang kepada Porter untuk melakar sejarah apabila menjadi pemain termuda Arsenal yang pernah memulakan perlawanan pada usia 16 tahun 72 hari menentang Bolton.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengesahkan keadaan Raya masih belum jelas dengan keputusan sama ada dia akan beraksi atau tidak hanya akan ditentukan setelah penilaian lanjut terhadap tahap kecergasannya.
Sekiranya Raya tidak dapat beraksi, penjaga gol pinjaman dari Bournemouth, Neto mungkin diberi peluang untuk membuat penampilan sulungnya bersama Arsenal.
Dalam masa sama, The Gunners juga kehilangan penjaga gol ketiga, Tommy Setford yang masih belum pulih daripada kecederaan pinggul menjadikan pilihan di posisi berkenaan agak terhad untuk aksi menentang Leicester.
Arsenal kini berharap Raya pulih tepat pada masanya untuk pertemuan itu, namun jika tidak, cabaran besar menanti skuad muda Arteta dalam usaha mereka mengekalkan momentum di EPL. – AGENSI