KEMENANGAN 1-0 Kuala Lumpur City FC (KL City) ke atas Borneo Samarinda di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin membuktikan pemain tidak pernah mengkhianati pasukan walaupun dihimpit isu tunggakan gaji.
Wira KL City, Brendan Gan menjelaskan keharmonian bilik persalinan menjadi salah satu kunci kejayaan pasukan yang kini berada di tangga kedua Kumpulan B Kejuaraan Kelab Asia Tenggara (ACC).
“Kenapa tidak kita bercakap tentang kemenangan semasa kami berada dalam keadaan sukar? Kami sudah lalui situasi sukar dan pemain berikan jiwa mereka untuk dapatkan kemenangan.
“Bilik persalinan kami juga cukup bagus, pemain saling bersaing dan saya yakin itu adalah salah satu kunci utama. Saya tidak peduli tentang jaringan atau siapa yang jaringkan gol kerana keutamaan adalah kemenangan.
“Saya bertuah dapat hasilkan gol tetapi lebih penting adalah pasukan berjaya mengutip tiga mata,” katanya.
Pengendali The City Boys, Miroslav Kuljanac berkata, perubahan yang dilakukannya dengan membawa masuk Zhafri Yahya menjadi titik tolak kejayaan pasukan.
“Sudah pasti itu adalah pertukaran yang bagus buat pasukan kerana saya merasakan kami perlu memiliki pemain yang lebih cergas. Saya lihat Ryan Lambert dan Haqimi Azim Rosli sudah keletihan.
“Jadi saya fikir adalah tepat untuk kami buat pertukaran. Jelas sekali kemasukan pemain baharu beri tenaga tambahan buat pasukan hingga memperoleh gol kemenangan,” katanya.