fbpx

Sindiket hidup mewah hasil edar dadah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafien (tengah) bersama pelbagai jenis dadah yang dirampas di Rantau Panjang pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini. - Foto ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Kehidupan mewah lima individu termasuk dua wanita lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) terbongkar apabila mereka rupanya terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di negeri ini sejak setahun lalu.

Kesemua mereka yang berusia antara 22 hingga 32 tahun itu ditahan selepas polis melakukan serbuan di tiga buah rumah berasingan di Rantau Panjang pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 11 malam di sebuah rumah Taman Sri Rantau, Gual Nering dekat Rantau Panjang, polis telah menahan seorang lelaki berusia 22 tahun.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis syabu dan eramin 5 yang dianggarkan bernilai RM6,560.

“Selepas itu, polis terus melakukan serbuan di sebuah lagi rumah di kampung sama kira-kira pukul 1 pagi Ahad lalu. Dalam serbuan itu, kita menahan dua lelaki berusia 24 dan 32 tahun.

“Pemeriksaan di dalam rumah dan sebuah itu membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis Revolver dan tiga butir peluru hidup di dalam sebuah kereta dipercayai digunakan semasa menjalankan kegiatan pengedaran dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini hari ini.

Menurut Shafien siasatan mendapati, kedua-dua lelaki terbabit bekerja sebagai peniaga dan salah seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes culik.

Katanya, selepas kejayaan dua serbuan itu, polis memperoleh maklumat daripada suspek yang ditahan sebelum bertindak menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Sri Mesa, Kampung Gual Mesa dekat Rantau panjang pada pukul 10.30 malam pada hari yang sama.

Ujarnya, dalam serbuan itu, polis menahan dua wanita masing-masing berusia 25 tahun dipercayai pelajar lepasan IPT di dalam rumah tersebut.

“Polis merampas 700 biji pil erimin 5 dan 140 biji pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM14,700. Kita turut merampas tiga buah kereta termasuk sebuah kereta mewah jenis Audi.

“Dua buah motosikal dipercayai milik kedua-dua wanita terbabit turut dirampas. Nilai rampasan kenderaan di rumah itu sahaja sudah mencecah RM218,000,” katanya.

Menurut Shafien, jumlah sitaan sembilan buah kereta (jenis BMW, Volvo, Proton Exora, Honda Jazz, Perodua Myvi dan Nissan Navara) dan empat motosikal (Ducati Street Fighter dan Kawasaki Z1000) milik kumpulan terbabit di ketiga-tiga buah rumah itu dianggarkan melebihi RM 637,000.

Katanya, selain itu, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas iaitu syabu, erimin 5, heroin, pil kuda dan kodien pula dianggarkan bernilai lebih RM135,000.

Menurut Shafien, kelima-lima suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin hingga Ahad ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI