fbpx

Nak masuk Thailand pastikan cop Pesuruhjaya Sumpah tulen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Henry menunjukkan cop Pesuruhjaya Sumpah yang dipalsukan (kiri) dan cop tulen (kanan) di pejabatnya di Kangar, hari ini.

KANGAR – Rakyat Malaysia diminta supaya berhati-hati agar tidak terperdaya dengan pihak tertentu yang menawarkan cop perakuan palsu mirip Pesuruhjaya Sumpah pada Surat Akuan Berkanun untuk membawa masuk kenderaan ke Thailand.

Penyelaras negeri bagi Pertubuhan Gabungan Pesuruhjaya Sumpah Malaysia (Pesuma), Henry Ooi Hwa Ree berkata, pihak kastam Thailand mewajibkan rakyat Malaysia yang mahu memandu kenderaan supaya mengemukakan Surat Akuan Berkanun dengan cop Pesuruhjaya Sumpah.

Namun begitu, katanya, terdapat laporan mengenai pihak tidak bertanggungjawab menggunakan cop perakuan mirip milik Pesuruhjaya Sumpah.

“Taktik ini dikesan di Kelantan bertujuan untuk mengaut keuntungan dengan menawarkan perkhidmatan perakuan tidak sah kepada mereka yang ingin membawa kenderaan ke Thailand,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan dokumen penting itu disahkan melalui pihak yang sah bagi mengelakkan masalah ketika berada di negara jiran.

Jelasnya, peraturan baharu yang diperkenalkan Kastam Thailand bertujuan memastikan kenderaan yang dibawa masuk ke negara itu mempunyai kebenaran daripada pemilik asal.

“Langkah ini juga difahamkan bertujuan mengurangkan risiko kenderaan curi dibawa masuk ke Thailand dan diperdagangkan dalam pasaran gelap,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, surat akuan itu perlu dilengkapkan dengan maklumat jelas termasuk maklumat pihak yang diberi kuasa untuk membawa kenderaan serta butiran kenderaan yang akan dipandu masuk ke Thailand.

“Akta Akuan Berkanun 1960 menetapkan hanya Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret, Pesuruhjaya Sumpah dan Notari Awam yang dibenarkan untuk memberi perakuan bagi Surat Akuan Berkanun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI