LONDON – Persaingan sihat yang wujud dalam kem Chelsea menyebabkan pemain-pemainnya berdepan masalah tidur kerana risau kedudukan masing-masing akan terjejas.
Hanya satu kekalahan dalam tujuh perlawanan di bawah kendalian Enzo Maresca musim ini telah membuktikan The Blues kini hanya memerlukan mereka yang terbaik dan pastinya ia menuntut kerja keras daripada semua pemain.
Bintang baharu Chelsea, Pedro Neto sendiri mengakui pemain terpaksa ‘bermusuh secara profesional’ bermula dengan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brighton di Stamford Bridge malam ini.
“Apabila memiliki pemain berkualiti, sudah pasti tiada siapa yang boleh tidur lena. Seperti yang jurulatih katakan, tiada seorang pun yang akan bermain dalam setiap perlawanan.
“Jadi kami perlu terus bekerja keras setiap sesi latihan, minggu dan perlawanan. Inilah mentaliti yang Chelsea ada dan saya harap ia dapat pacu pasukan di kedudukan terbaik,” katanya.
Neto, 24, juga merasakan tugasan berganda menanti dirinya memandangkan dia tidak berkesempatan untuk menyertai kempen pramusim bersama pasukan dan kini harus segera memahami pendekatan Maresca.
“Saya dapat sesuaikan diri dengan baik, namun saya tetap perlukan masa untuk memastikan saya mampu berada pada tahap terbaik.
“Saya akan terus bekerja untuk menghadirkan kegembiraan buat kelab ini dan memacu pasukan ke kedudukan yang kami berhak berada,” jelas pemain sayap Portugal itu. AGENSI