SHAH ALAM – Jabatan Peguam Negara (AGC) masih mempertimbangkan representasi kedua yang dikemukakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung dua pertuduhan menghasut.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob semasa sebutan semula kes itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Abdul Malik mengatakan pihaknya memohon penangguhan dalam masa sebulan bagi keputusan representasi itu.
“Ini kerana AGC masih mempertimbangkan representasi yang dikemukakan (Muhammad Sanusi)” kata Abdul Malik.
Mendengar perkara itu peguam Awang Armadajaya Awang yang mewakili Muhammad Sanusi kemudian memaklumkan arahan anak guam adalah kedua-dua pertuduhan ditarik balik.
“Seperti yang diketahui umum, anak guam saya telah menulis kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor memohon ampun dan maaf dan ada jawapan daripada Duli Yang Maha Mulia. Oleh yang demikian berkaitan dengan pertuduhan saya memohon agar pertuduhan itu ditarik balik. Itu arahan saya yang saya terima,” kata Awang Armadajaya.
Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Datuk Aslam Zainuddin kemudian menetapkan 25 Oktober ini bagi sebutan kes itu.
Pada prosiding sebelum ini, perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula pada 22 Julai lalu ditangguhkan selepas pihak pembelaan memaklumkan baru mengemukakan representasi kedua kepada AGC.
Ia apabila pada Mei lalu AGC menolak permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu bagi membatalkan dua tuduhan tersebut.
Justeru tarikh-tarikh perbicaraan iaitu 22, 23, 29 dan 30 Julai serta 5, 6, 9, 12, 13 dan 23 Ogos yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan.
Rabu lalu, media melaporkan Muhammad Sanusi telah membuat permohonan ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Permohonan ampun Menteri Besar tersebut berkaitan kenyataan beliau pada 11 Julai tahun lalu di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Ia adalah permohonan ampun pertama Menteri Besar tersebut yang dibuat secara terbuka.
Muhammad Sanusi menambah, beliau menzahirkan rasa kesal atas perkara negatif yang timbul akibat kenyataannya itu.
Tambahnya, pihaknya juga dengan penuh rasa insaf dan rendah diri memohon beribu keampunan kepada Sultan Selangor termasuk Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-katanya itu.
Sejurus selepas permohonan ampun itu Sultan Sharafuddin semalam berkenaan menerima permohonan ampun daripada Muhammad Sanusi atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain.
Titah baginda, kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas dalam permohonan maafnya.
Namun, baginda menasihatkan Muhammad Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila.
Mengikut kedua-dua pertuduhan Muhammad Sanusi, 50, didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.
Justeru kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 1 Februari lalu, Muhammad Sanusi berjaya dalam permohonannya untuk memindahkan dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya untuk dibicarakan dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini.
Mahkamah Tinggi di sini memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri selaku pemohon untuk memindahkan kes itu.
Sebelum itu, pada Januari lalu, Muhammad Sanusi mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes dan menggantung perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini. – KOSMO! ONLINE