fbpx

Bukan sewenang-wenangnya buka kertas siasatan tanpa bukti, fakta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan berita menyatakan pihaknya telah menerima arahan daripada pihak tertentu agar tidak melakukan siasatan terhadap individu tertentu membabitkan pembelian saham sebuah syarikat.

SPRM dalam kenyataan berkata, ia susulan pihaknya mengesan laporan berita yang disiarkan di sebuah portal berita tempatan dan antarabangsa adalah tidak tepat serta tidak berkredibiliti membuat tohmahan terhadap suruhanjaya tersebut.

Jelasnya, setiap tindakan penguatkuasaan dijalankan oleh pihaknya adalah ‘without fear or favour’, tanpa ada campur tangan mana-mana pihak, adil tanpa prasangka dalam semua keadaan berteraskan prinsip kedaulatan serta keluhuran undang-undang.

“SPRM yakin perkara tersebut merupakan tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap suruhanjaya ini.

“SPRM tidak membuka kertas siasatan sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta,” katanya hari ini.

Tambah SPRM, setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

Tegas SPRM, pihaknya juga tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes-kes rasuah dan penyelewengan yang sedang giat disiasat ketika ini dengan pelbagai tohmahan sengaja direka-reka.

“Sehubungan itu, SPRM berharap agar orang ramai tidak terpedaya dengan tohmahan mana-mana pihak yang cuba mengaitkan suruhanjaya ini bagi menyerang kepentingan pihak-pihak tertentu.

“SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini kerana isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa seharusnya tidak boleh dikompromi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI