fbpx

Sebahagian besar aset GISBH sudah disita – Razarudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sebahagian besar aset GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sudah dibekukan susulan Op Global dijalankan, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pada masa ini pihaknya sedang menjejaki kesemua aset dan transaksi aliran wang sama ada melalui akaun syarikat mahupun individu.

“Proses menjejaki dana milik GISBH ini sedang berjalan termasuk mengesan akaun-akuan beberapa syarikat berkaitan serta akaun-akaun peribadi milik individu tertentu sama ada ahli GISBH atau orang luar.

“Setakat ini, sebahagian besar aset-aset GISBH sudah disita melalui serbuan-serbuan yang dijalankan sebelum ini menerusi Fasa 1 sehingga Fasa 4, baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ujar beliau, berdasarkan pemantauan yang dijalankan setakat ini, pihaknya mendapati hampir keseluruhan premis-premis berkaitan GISBH tidak beroperasi susulan serbuan besar-besaran yang dijalankan.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, aktiviti perniagaan GISBH semakin kurang mendapat sambutan sejak Ogos lalu apabila kegiatan mereka didedahkan oleh laman Facebook PUKAS MALAYSIA.

“Susulan dari itu juga, kepercayaan masyarakat semakin terhakis dan kita percaya selepas itu perniagaan rangkaian GISBH mula merundum,” katanya.

Katanya, langkah polis selepas ini adalah mengumpul seberapa banyak maklumat bagi melengkapkan siasatan selain mengalu-alukan sebarang laporan dari bekas ahli-ahli GISBH dan mangsa mereka.

Terdahulu, media melaporkan PDRM membekukan keseluruhan 153 akaun bank berkait GISBH bernilai lebih RM880,000 membabitkan 138 akaun bank aktif manakala lagi 15 sudah ditutup.

Turut dibekukan ialah 22 kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,872,085 serta 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan.

Tindakan pembekuan itu diambil mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Penyitaan aset dilakukan mengikut Seksyen 45(2) akta sama, membabitkan 16 kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM2.07 juta.

Dalam pada itu, turut dirampas 26 ekor haiwan terdiri daripada sembilan kuda, 14 arnab serta tiga burung merak, selain wang tunai RM18,650 dan dua jam tangan bernilai RM600.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI