ALOR SETAR – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjunjung kasih atas limpah perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima permohonan ampun daripada Menteri Besar Kedah itu sebagaimana yang dititahkan pada semalam.
Muhammad Sanusi berkata, beliau berazam akan mematuhi titah nasihat Sultan Sharafuddin untuk lebih berhati-hati serta menjaga tutur kata khususnya ketika berada di Selangor.
“Mudah-mudahan sifat pengampun dan kebaikan hati yang ada pada Tuanku Sultan akan membawa lebih banyak kebaikan serta menambahkan lagi daulat dalam pemerintahan Tuanku serta menjadikan Selangor Darul Ehsan negeri yang diberkati serta dilimpahi rahmat oleh Allah SWT,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kenyataan sama, Menteri Besar itu merafak sembah mendoakan semoga Sultan Sharafuddin dipanjangkan usia oleh Allah SWT serta berada dalam keadaan sihat walafiat untuk terus melaksanakan tanggungjawab memerintah penuh adil dan cemerlang.
Akhbar sebelum ini melaporkan Muhammad Sanusi membuat permohonan ampun secara terbuka kepada Sultan Sharafuddin berkaitan kenyataan beliau pada 11 Julai tahun lalu di Taman Selayang Mutiara dalam daerah Gombak, Selangor yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Sultan Sharafuddin kemudian berkenaan menerima permohonan ampun daripada Menteri Besar Kedah itu atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
Baginda tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas dalam permohonan maafnya.
Namun, baginda menasihatkan Muhammad Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila.
“Jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali bila berada di negeri Selangor.
“Beta tidak mahu rakyat khususnya di negeri ini terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah Klang, semalam.
Pada 29 Februari lalu, Muhammad Sanusi mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas dua tuduhan menyebut perkataan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara, Gombak pada pukul 11 malam, 11 Julai tahun lalu.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) merangkap Ketua Jabatan Pilihan Raya Pas didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. – KOSMO! ONLINE