LANGKAWI – Pengarah Sukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Sayuti Zahit sudah merangka ‘formula’ terbaik untuk mencapai keputusan positif pada Peringkat 1 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 pada Ahad ini.
Menurut Sayuti, barisan teknikal serta pelumba MPC sudah melakukan pemantauan laluan pada 20 kilometer (km) akhir di sekitar Pulau Langkawi menuju garisan penamat pada sesi latihan hari ini.
Kata Sayuti, beberapa pelumba bakal berdepan cabaran sukar selain mungkin boleh berlaku pemecahan kumpulan pada perlumbaan nanti..
“Pada 20km terakhir ia agak mencabar di kawasan Bukit Malut, kalau ada yang tidak membuat pemantauan awal di situ mungkin bakal berlaku banyak pemecahan kecil sebelum menuruni bukit dengan laju malah boleh terjadinya penamat solo,” katanya ketika ditemui.
Sayuti turut mengingatkan anak buahnya agar berhati-hati dan bersiap sedia, dengan apa sahaja boleh berlaku di kawasan berkenaan.
“Saya mahu keputusan yang positif untuk MPC dalam peringkat pertama ini,” katanya.
Pada perlumbaan LTdL edisi ke-28 kali ini, MPC mempertaruhkan Izzat Hilmi Abdul Jalil dan Ahmad Syazrin Awang Ilah, manakala empat lagi Zawawi Azman, Syawal Mazlin, Zulfikri Zulkifli dan Fahmi Khairul untuk menguasai zon pendakian serta mencatat keputusan cemerlang di peringkat ketiga dari Taiping ke Cameron Highlands.
Sayuti meletakkan sasaran awal di peringkat pertama ini dengan merangkul Jersi Putih (Terbaik Asia), meraih podium dan memenangi Jersi Merah (Raja Bukit). – KOSMO! ONLINE