LANGKAWI – Pelumba berpengalaman skuad berbasikal kebangsaan, Muhd. Elmi Jumari mengakui anak tempatan turut mampu bersaing dengan bintang handalan antarabangsa pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 bermula Ahad ini.
Menurutnya, pelumba dari benua Asia juga memiliki kualiti serta keupayaan untuk bersaing sengit pada setiap peringkat yang diharungi nanti.
“Saya rasa setiap kali saya ikut tour (siri jelajah) kita dapat lihat sebenarnya mereka tiada kelebihan. Secara jujur, kita pun sebagai pelumba Asia layak berlawan dengan mereka.
“Namun, bagi saingan kali ini kita kena lihat kedudukan ketika mengharungi last sprint (pecutan terakhir).
“Selain itu, bantuan daripada rakan sepasukan yang boleh membantu kita (menamatkan saingan dengan lebih baik) sebelum ke garasan pemain,” katanya ketika ditemui di Langkawi hari ini.
Pelumba berusia 34 tahun itu mengakui turut memiikul tugas berat apabila diberikan mandat sebagai kapten skuad kebangsaan kali ini.
Kata Elmi, kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih, Mohd. Yusuf Nasir memberi makna besar dalam usahanya untuk membimbing rakan-rakan sepasukan mendapat keputusan lebih baik berbanding edisi lepas. – KOSMO! ONLINE
“Saya bukan hanya ada misi peribadi kerana pasukan juga ada misi tersendiri. Kalau ada rezeki, kita akan cuba mendapatkan kemenangan dalam lapan peringkat yang diharungi nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE