fbpx

Senator nafi paksa ‘bodyguard’ makan daging babi – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah (tengah) ketika sidang media di IPD Seberang Perai Selatan di Jawi, hari ini. foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang mengesahkan menerima satu laporan yang dibuat seorang senator dari negeri ini berhubung dakwaan terhadapnya yang memaksa pengawal peribadinya memakan daging babi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 38 tahun itu kira-kira pukul 8.31 malam semalam.

Menurutnya, senator itu mendakwa menerima panggilan daripada seorang wartawan yang bertanya mengenai dakwaan pengawal peribadinya membuat laporan polis ekoran dipaksa memakan daging khinzir.

“Dia menafikannya dan kemudiannya bertindak membuat laporan polis. Pengawal peribadinya turut membuat laporan polis bagi menafikan perkara itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Seberang Perai Selatan, di Jawi di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, hasil semakan pihak polis mendapati tiada sebarang laporan yang dibuat pemanggil berhubung isu berkenaan di mana-mana balai polis seluruh negara.

Tambahnya, polis akan memohon Order to Investigate (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk meneruskan siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Hamzah memaklumkan dua lelaki tempatan yang aktif dalam kegiatan samun dan mendatangkan kecederaan berjaya ditahan di dua lokasi berasingan di Seberang Perai dan Georgetown, di sini semalam.

“Kedua-dua suspek yang ditahan bersangkut dengan laporan Machang Bubok dan beberapa barangan turut dirampas antaranya tiga bilah pisau, dua buah telefon bimbit, serangkai anak kunci dan 14 keping wang kertas mata wang tempatan dan luar negara.

“Dengan tertangkapnya dua suspek tersebut, kita berjaya menyelesaikan enam kes samun mendatangkan kecederaan dan satu kes curi motosikal di kawasan Seberang Perai Tengah yang membabitkan keseluruhan kerugian bernilai RM12,350,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI