fbpx

Kerajaan teliti lebarkan jalan di Pelabuhan Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika melihat lokasi pembinaan Pelabuhan Barat 2 pada majlis pecah tanah tersebut. FOTO FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KLANG – Kerajaan akan meneliti peruntukan bagi melebarkan jalan di sekitar Pelabuhan Klang di sini bagi menjadikan Pelabuhan Barat terutamanya menjadi pelabuhan utama di dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mengakui infrastruktur tersebut penting dalam ekosistem pertumbuhan ekonomi selain keupayaan pelabuhan.

Katanya, kerajaan akan memberikan sokongan yang perlu dalam mempercepatkan kelulusan bagj meningkatkan kemampuan pelabuhan tersebut.

“Ini kerana kita nak pelabuhan ini menjadi pelabuhan utama. (Sekarang) nombor 11, pasal apa tidak boleh nombor lima atau empat.

“Nak buat jalan besar baharu, kita ambil masa sedikit. Tetapi saya setujulah untuk sekarang saya balik pejabat lepas solat jumaat nanti. Saya akan arahkan supaya teliti dan kita luluskan peruntukkan untuk baiki jalan yang sedia ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Rahmah Mesra bersama Komuniti Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Klang, hari ini.

Terdahulu, ketika pada majlis pecah tanah Pelabuhan Barat 2, Anwar memaklumkan satu perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

“Saya pun tahu dan laporan saya dilihat semalam tentang Westport ini mengenai kemalangan yang berlaku libatkan lori-lori besar. Manusia ini bila pangkat besar, lori besar tidak fikir yang kecil. Ini memang lazim kelemahan manusia.

“Jadi akhirnya kita catat tahap kemalangan yang tinggi. Tetapi kos pembinaan sangat tinggi dan tidak segera dalam perancangan. Saya akan bincang dengan Menteri Besar dan Menteri Pengangkutan di mana boleh dalam masa keupayaan kita menyegerakan keluasan dan pelebaran jalan ini,” ujarnya.

Menurut beliau, projek-projek pelebaran jalan itu bagaimanapun bergantung kepada kekuatan kewangan negara.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan pentingnya ekosistem dan prasarana berkaitan diperkemaskan dengan isu Pelabuhan Barat berulang kali diangkat untuk pertimbangan jemaah Menteri.

“Isu westport termasuk soal yang berkaitan itu, tidak kurang dua tiga kali dibawa ke mesyuarat jemaah Menteri oleh Anthony Loke. Jadi itu keutamaannya.

“Westport sebagai satu pelabuhan bukan sahaja dibanggakan negara namun boleh diharapkan mencapai antara pelabuhan utama di dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI