PADANG BESAR – Taman Botanikal Perlis yang menyimpan hampir 80 spesies tanaman nadir bakal menjadi pusat pemuliharaan spesies yang hampir pupus di negeri itu.
Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, dengan pelancaran taman tersebut, beliau berharap ia akan dapat memberi manfaat kepada penduduk tempatan.
“Selain itu, Taman Botanikal Perlis turut berpotensi menjadi destinasi pelancongan utama negeri ini, lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika merasmikan taman itu di Guar Jentik, di sini hari ini.
Kata beliau, taman tersebut juga diharapkan dapat berfungsi sebagai pusat penyelidikan saintifik dan pemuliharaan dalam bidang botani serta pertanian.
Pengerusi Kelab Batu Permata, Fosil dan Mineral Malaysia, Dr. Hisham Hashim berkata, taman botanikal itu dibuka untuk orang ramai bermula esok.
Pengunjung akan dikenakan caj masuk antara RM7 hingga RM8 buat permulaan dengan lawatan ke petting zoo dan kawasan tanaman ditemani kakitangan yang akan berkongsi pengetahuan tentang spesies tersebut. – KOSMO! ONLINE