fbpx

Geledah, sita premis berkait GISBH di Sabah, Sarawak meskipun ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin

KUALA LUMPUR – Agensi berkaitan dicadang untuk menggeledah premis berkaitan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di Sarawak dan Sabah yang ditutup susulan Op Global, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, sesi mesyuarat telah diadakan pihaknya bersama agensi kerajaan lain berhubung siasatan terhadap GISBH bagi meneliti situasi semasa pengoperasian premis yang mempunyai kaitan dengan organisasi tersebut di Sabah dan Sarawak.

Katanya, semua agensi berkenaan dicadangkan mengambil tindakan untuk menggeledah dan menyita premis mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 3/1995 dan Seksyen 16a Akta Pusat Jagaan 1993 bagi premis di Sabah.

“Mesyuarat ini melibatkan wakil daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Hasil mesyuarat itu mendapati premis-premis yang berkaitan dengan GISBH di Sabah dan Sarawak telah ditutup dan tidak beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Razarudin, di Sarawak, tindakan yang sama akan dilaksanakan mengikut Seksyen 44 Ordinan Tatacara Jenayah Syariah (Sarawak) dan Seksyen 16a Akta Pusat Jagaan 1993.

“Pihak polis akan membantu sepenuhnya dalam menjalankan tindakan ini.

“Walaupun premis tidak beroperasi, Polis Diraja Malaysia akan terus memantau bagi memastikan individu yang terlibat dapat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI