fbpx

Sungai Kuang berbuih angkara 45 tangki IBC pencuci lantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan tangki IBC yang dijumpai di tapak bersebelahan dewan serbaguna Matang Pagar.

SHAH ALAM – Sebanyak 45 tangki Intermediate Bulk Container (IBC) disyaki mengandungi kandungan bahan sabun pencuci pelbagai guna dan juga pencuci lantai menjadi punca pencemaran air berbuih di alur Sungai Kuang, Kuang dekat sini.

Penemuan itu dibuat susulan operasi bersepadu dijalankan pelbagai agensi semalam di kawasan Matang Pagar, Sungai Buloh.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, semakan Lembaga Urus Air Selangor bersama agensi terlibat mendapati tangki-tangki IBC itu diletakkan di tapak bersebelahan dewan serbaguna Matang Pagar.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati beberapa tangki tersebut telah pecah dan bocor.

“Ini menyebabkan kandungan bahan dalam tangki tersebut melimpah keluar sehingga ke longkang bersebelahan dewan serbaguna tersebut.

“Ia kemudiannya masuk ke dalam Sungai Kuang serta akhirnya ke Sg. Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain LUAS, Operasi bersepadu itu turut melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (HAZMAT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Jamaliah, JAS dan LUAS telah melakukan pensampelan di lokasi kejadian termasuk bagi mengenal pasti jenis sisa tersebut dan sampel juga dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut.

Tambah beliau, MPS akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan di tapak merujuk kepada analisis sampel kandungan bahan di dalam tangki tersebut sekiranya ia bukan Bahan Terjadual.

“Kontraktor yang dilantik oleh JAS akan melakukan kerja-kerja pembersihan tersebut sekiranya kandungan sisa di dalam tangki tersebut disahkan sebagai Bahan Terjadual.

“Sebanyak 10 beg Activated Carbon (AC) telah diletakkan oleh LUAS di kawasan longkang terlibat sebagai langkah kawalan dan pencegahan di tapak. Pensampelan bau juga telah dilaksanakan oleh LUAS di lokasi dan mencatatkan bacaan 0 ton,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan LUAS telah memulakan pemantauan rapi di dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini di lokasi terlibat.

“Ini bagi memastikan potensi dan risiko aliran pencemaran dicegah dan dikawal sehingga keputusan analisis oleh JAS diterima dan pembersihan dilaksanakan sepenuhnya.

“Selain itu, LUAS juga membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79 Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap pihak terlibat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI