fbpx

K2

Mengekalkan kesihatan otak melalui diet sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAFEIN dikatakan boleh menyokong aspek penting fungsi otak. – Gambar hiasan

MALAYSIA kini berada di ambang perubahan demografi yang nyata.

Malah, Kertas Putih yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meramalkan bahawa negara ini akan menjadi masyarakat ‘lanjut usia’ menjelang 2030.

Individu berumur lebih 60 tahun dijangka membentuk 15 peratus daripada penduduk di Malaysia.

Ahli Lembaga Penasihat Pemakanan Herbalife, Dr. Gary Small berkata, populasi yang semakin tua sering dirujuk sebagai ‘Tsunami Rambut Putih’.

Situasi ini telah meningkatkan kebimbangan tentang isu kesihatan, khususnya yang mempengaruhi otak.

Menurutnya, biarpun penyakit seperti Alzheimer merupakan salah satu bentuk demensia, namun ia bukan sesuatu yang pasti dihadapi dalam proses penuaan.

“Data ini menimbulkan satu persoalan penting, apakah yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan risiko Alzheimer?

“Semakin umur kita meningkat, otak kita mengalami perubahan dan fungsi mental juga berubah serentak,” katanya.

Keadaan ini boleh dibahagikan kepada tiga peringkat semula jadi.

Pertama, penuaan sihat dengan ciri-ciri kehilangan daya ingatan ringan yang stabil. Kedua, kemerosotan kognitif ringan iaitu masalah kognitif atau cabaran proses berfikir yang lebih jelas tetapi tidak menjejaskan keupayaan untuk berdikari.

Ketiga, demensia merupakan kemerosotan kognitif ketara yang mempengaruhi keupayaan seseorang untuk menjaga diri sendiri.

Amalkan diet sihat seperti buah pada setiap hari. – Gambar hiasan

Dr. Gary menjelaskan, Alzheimer sering dianggap ‘penyakit senyap’ memandangkan kewujudannya menular secara beransur-ansur.

“Gejala-gejala awal Alzheimer adalah seperti masalah ingatan atau sering terlupa dan kesukaran memberi tumpuan.

“Lazimnya, ia dianggap sebagai perubahan biasa yang berlaku seiring peningkatan usia.

“Bagaimanapun, salah tanggapan ini boleh mengelirukan orang ramai.

“Penyakit Alzheimer mungkin bermula lama sebelum sebarang gejala muncul, kadangkala 20 tahun sebelumnya,” jelasnya.

Tambahnya, apabila kemerosotan kognitif menjadi nyata, kerosakan otak yang ketara sudah pun berlaku.

Dalam pada itu, salah satu faktor berpotensi besar untuk mencegah penyakit Alzheimer adalah diet dan pemakanan.

Semakin banyak kajian menunjukkan bahawa apa yang kita makan boleh memberikan kesan nyata terhadap kesihatan otak dalam jangka pendek dan panjang.

Dr. Gary berkata, mengubah suai diet dengan mengutamakan makanan yang mengandungi antioksidan dan antiradang, selain mengamalkan gaya hidup aktif membolehkan otak kekal sihat.

“Diet yang kaya dengan makanan penguat otak mengandungi antioksidan, asid lemak omega-3 dan nutrien penting lain bagi menyokong fungsi kognitif serta berpotensi mengurangkan risiko penyakit Alzheimer.

“Di negara ini, makanan lazim yang dinikmati orang ramai menawarkan pelbagai khasiat,” ujarnya.

Banyak diet tempatan mengandungi ikan, sayur dan bahan makanan lain yang sememangnya kaya dengan omega dan antioksidan.

Dr. Gary menjelaskan, kafein dikatakan boleh menyokong aspek penting fungsi otak, dengan kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa sebatian dalam kopi panggang boleh membantu melindungi kita daripada penyakit Alzheimer dan parkinson.

“Satu kajian melibatkan dewasa lebih tua menunjukkan bahawa makanan tambahan mengandungi lutein dan zeaxantin mampu meningkatkan daya perhatian kompleks serta fleksibiliti kognitif,” katanya.

Tambahnya, kurkumin iaitu sejenis sebatian yang ditemui dalam kunyit dan kari India boleh membantu melindungi otak daripada keradangan.

Kajian juga menunjukan bahawa penggunaan kurkumin mampu meningkatkan daya ingatan dan mood individu yang mengalami kehilangan daya ingatan sederhana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI