MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag menempelak barisan pemainnya kerana membenarkan FC Twente ‘hidup’ yang akhirnya membawa padah apabila mereka sekadar seri 1-1 dalam aksi pembukaan Liga Europa di Old Trafford awal pagi semalam.
United bermula cemerlang dengan mendahului pada minit ke-35 menerusi Christian Eriksen sebelum pemain tengah itu membuat kesilapan dengan ‘menghadiahkan’ jaringan penyamaan buat Twente di separuh masa kedua.
Penyerang Twente, Sam Lammers berjaya merampas bola daripada kawalan Eriksen sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol United, Andre Onana pada minit ke-68.
Begitupun, The Red Devils tetap mempunyai peluang untuk menang tetapi terpaksa menerima hakikat hanya mengutip satu mata disebabkan ketumpulan penyudah Marcus Rashford, Amad Diallo, Bruno Fernandes dan Joshua Zirkzee.
Biarpun Ten Hag membawa masuk Alejandra Garnacho dan Rasmus Hojlund menguatkan jentera serangan di separuh masa kedua tetapi hasilnya tetap sama apabila mereka gagal menewaskan lawan dari Belanda itu.
“Apabila mendahului 1-0, anda perlu mengawal bola dengan konsisten dan meneruskan asakan. Tetapi pada babak kedua, prestasi merosot dan akhirnya kami melepaskan gol.
“Kami gagal menamatkan mereka, sebaliknya kami benarkan lawan bermain dalam aksi ini. Sepatutnya kami mendapatkan gol kedua tetap malangnya dihukum akibat kesilapan sendiri. Ini perlawanan pertama, jadi sangat penting untuk mendapatkan kemenangan.”
“Bagaimanapun, gol itu disebabkan kesilapan berpasukan. Pemain Twente membuat larian dengan bola tanpa disekat. Kami tak boleh melepaskan gol seperti itu,” jelas Ten Hag.
Keputusan itu kembali menimbulkan kemarahan para penyokong United yang kecewa apabila hanya mampu menang tiga daripada tujuh perlawanan musim ini biarpun sudah berbelanja £200 juta (RM1.1 bilion) pada jendela perpindahan musim panas lalu. – AGENSI