PETALING JAYA – Kerajaan melalui SEDA Malaysia telah melaksanakan Program SAVE 4.0 yang memberikan e-rebat sehingga RM400 bagi pembelian penyaman udara dan peti sejuk untuk membantu pengguna mengurangkan kos pembelian kelengkapan elektrik yang berlabel 4 dan 5 bintang.
Pemberian rebat ini juga merupakan langkah kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai pengguna membeli dan menggunakan peralatan yang lebih menjimatkan tenaga.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YAB Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia sekali gus dapat mengurangkan pelepasan karbon dan mengurangkan kesan perubahan iklim kepada alam sekitar.
“Penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga, bersama-sama dengan amalan inisiatif jimat tenaga yang lain mampu mengurangkan bil elektrik setiap isi rumah dalam jangka masa panjang dan mengurangkan kos sara hidup secara tidak langsung.
“Selain kempen yang dilaksanakan melalui Program Jelajah SAVE 4.0 dan Program MADANI Rakyat, kempen melalui media sosial, elektronik dan cetak juga dilaksanakan secara meluas,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, hampir 250,000 pengguna telah menikmati e-rebat SAVE 4.0 yang bernilai RM50 juta.
Peruntukan itu lebih tinggi berbanding RM35 juta yang diperuntukkan pada Program SAVE 3.0 yang lepas.
Beliau berkata, Program SAVE 4.0 menerima sambutan yang sangat memberangsangkan terutamanya di Kedah, Pulau Pinang dan Johor.
Meskipun program ini dijangka tamat pada Disember 2024, sehingga Ogos 2024, lebih 245,000 unit rebat telah pun ditebus.
“Program ini dianggarkan mampu menjimatkan sehingga 190.93 gigawatt jam setahun, bersamaan dengan nilai RM75.23 juta setahun dan mampu mengurangkan sehingga 111,000 tan karbon dioksida setahun,” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata, tahap kesedaran masyarakat terhadap produk cekap tenaga semakin meningkat, apabila rata-rata rakyat Malaysia kini didapati lebih peka mengenai kepentingan pembelian peralatan elektrik cekap tenaga.
“Mengambil kira faedah jangka panjang, pertimbangan para pengguna tertumpu kepada bagaimana peralatan elektrik dapat menjimatkan bil elektrik tanpa menjejaskan kualiti, keselamatan dan keselesaan.
“Ini dapat dilihat daripada peningkatan jualan kelengkapan elektrik cekap tenaga selepas Program SAVE 2.0 dan SAVE 3.0 diadakan. Para pengguna telah membelanjakan sebanyak RM114 juta sepanjang Program SAVE 2.0 itu dan jumlah meningkat kepada RM306 juta semasa Program SAVE 3.0,” terangnya.
Kata Fadillah lagi, berdasarkan beberapa sesi libat urus dengan pihak pengeluar dan pengilang, industri memberikan respons positif terhadap Program Save 4.0, terutama sekali apabila ia mendapat sambutan daripada rakyat.
“Hal ini kerana Program SAVE merupakan salah satu insentif buat mereka, para pengilang dan pengeluar juga mendapat manfaat dengan peningkatan hasil jualan produk yang mempunyai 4 dan 5 bintang.
Ujar beliau lagi, dari semasa ke semasa, pihak Suruhanjaya Tenaga akan mengkaji semula Minimum Energy Performance Standards (MEPS), iaitu penetapan kadar dan piawaian kecekapan penggunaan tenaga bagi setiap kelengkapan elektrik.
“Melalui program ini, kerajaan turut memberikan isyarat kepada pengeluar dan pengilang untuk sentiasa memperbaiki dan menambah baik prestasi penggunaan tenaga bagi setiap kelengkapan elektrik yang dihasilkan dan mencapai piawaian yang ditetapkan.
“Penambahbaikan MEPS ini turut membantu pihak pengeluar dan pengilang untuk mencapai piawaian antarabangsa yang sekali gus akan membolehkan mereka meluaskan lagi pasaran produk keluaran ke peringkat antarabangsa,” katanya.