SEBAGAI anak saudara, pelakon Nabil Aqil mendoakan hubungan Syafiq Kyle dan pelakon Mimi Lana berakhir ke jenjang pelamin.
Menyifatkan Syafiq seorang yang setia dan tidak mungkin akan menjalin hubungan dengan mana-mana wanita lain, Nabil atau nama sebenarnya Muhammad Nabil Aqil Muhammad Salehuddin, 26, menaruh harapan tinggi bahawa kisah percintaan pasangan itu akan kembali terjalin.
“Perkara ini agak peribadi untuk dikongsi, tetapi apa yang boleh saya katakan semoga kalian dapat mendoakan yang terbaik buat mereka berdua.
“Saya ingin melihat bapa saudara saya ini bahagia dan saya juga tidak sabar untuk mempunyai ibu saudara baharu.
“Syafiq seorang yang setia dan mungkin juga kerana jadual kerja yang padat, saya fikir dia tiada masa untuk mencari orang baharu (kekasih).
“Jadi, saya rasa lebih baik dia bersama dengan orang yang dia sudah berikan sepenuh hati kepada orang itu,” katanya dengan reaksi wajah gembira.
Pelakon drama Lelaki Melayu Terakhir itu turut memberitahu, hubungan baik antara Mimi dan keluarga Syafiq membuatkan mereka akrab dan selalu menghabiskan waktu bersama.
“Mimi memang rapat dengan keluarga dan selalu meluangkan masa bersama.
“Ahli keluarga lain turut senang dengan Mimi.
“Tetapi, disebabkan kesibukan jadual kerja buat saya sukar untuk meluangkan masa dengan keluarga. Banyak masa dihabiskan di set penggambaran dan disebabkan itu saya jarang berpeluang untuk ada dengan mereka,” katanya.
Nabil turut menitip pesanan buat pasangan itu agar saling memberi peluang antara satu sama lain termasuk dia meletakkan harapan tinggi terhadap hubungan Mimi dan Syafiq dapat berakhir dengan perkahwinan.
“Apa-apa pun pada saya lumrah kehidupan bahawa manusia itu ada kekurangan dan buat kesilapan. Lagi pun kita semua berhak untuk mendapat peluang kedua,” katanya.
Sebelum ini, Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 28, memberitahu bahawa dia masih belum menerima lamaran daripada Syafiq.
Tanpa menjelaskan secara terperinci, Mimi memberitahu dia menyerahkan pengakhiran hubungan mereka kepada takdir Tuhan.
Terdahulu, Syafiq dalam satu temu bual di sebuah stesen radio mengakui sudah menakluk hati Mimi dan kini hanya menanti masa yang sesuai untuk meneruskan hubungan mereka.
Sebelum ini Syafiq dan Mimi sepatutnya melangsungkan pernikahan pada 18 Ogos tahun lalu, namun majlis itu dibatalkan.
Tidak memperincikan punca pembatalan perkahwinan itu, Syafiq dan Mimi bagaimanapun mengaku tetap berkawan baik dan boleh bekerjasama dalam satu drama atau filem.