fbpx

[KEMAS KINI] Cuba halau gajah, tukang kebun maut, rakan parah diserang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAJAH yang dipercayai menyerang dua penduduk dalam kejadian di belakang SK LKTP Tenggaroh, Mersing, hari ini.

MERSING – Seorang tukang kebun maut manakala rakannya cedera selepas diserang gajah ketika cuba menghalau haiwan liar itu di kawasan belakang Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Tenggaroh di Mersing di sini, pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenggaroh, K. Raven Kumar berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Pengurus Felda terbabit tentang kehadiran gajah berkenaan kira-kira pukul 8.30 pagi.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, pengurus berkenaan menyalurkan maklumat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi tindakan lanjut.

“Pengurus maklumkan penduduk sekitar agar tidak ganggu atau dekati kawasan gajah terbabit. Bagaimanapun pada pukul 11.30 pagi, pengurus terima panggilan mengatakan terdapat dua individu diserang dan dipijak gajah.

“Difahamkan seorang mangsa maut ,manakala seorang lagi cedera dan masih menerima rawatan di Hospital Mersing akibat kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Raven Kumar berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa diserang selepas mereka dipercayai mendekati gajah berkenaan bagi tujuan menghalaunya dengan membawa kayu.

Tambahnya, sebelum ini gajah juga pernah dilihat berkeliaran di beberapa kawasan agak jauh daripada lokasi kejadian.

Menurutnya, malah pihaknya juga menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya terserempak dengan haiwan berkenaan.

“Mereka sepatutnya menjauhi haiwan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Mengikut maklumat diterima menerusi pemantauan dron dilakukan, gajah berkenaan bergerak ke kawasan lain,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berkaitan kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI