fbpx

Bursa Malaysia kekal pasaran saham dengan prestasi terbaik di ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL WAHID (tiga dari kanan) bergambar bersama Anwar dan para tetamu pada Majlis Invest Malaysia Where Policy Meets Progress di Hotel Sunway Big Box, Iskandar Puteri hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

ISKANDAR PUTERI – Bursa Malaysia kekal sebagai pasaran saham dengan prestasi terbaik bagi negara rantau ASEAN apabila Indeks Petunjuk Utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat peningkatan sebanyak 15 peratus setakat ini.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, sehubungan itu pihaknya menjangka prospek pasaran saham negara kekal memberangsangkan bagi tahun 2024, disokong pelaburan domestik dan asing.

Menurut beliau, prestasi itu menyaksikan permodalan pasaran keseluruhan bursa kepada RM2.05 trilion.

“Setakat tahun ini, pasaran juga aktif dengan purata nilai dagangan harian (ADV) melonjak sebanyak 64 peratus kepada RM3.37 bilion daripada RM2.06 bilion bagi tahun 2023. Pelaburan asing menyumbang 35 peratus kepada nilai dagangan dengan aliran masuk bersih pula sebanyak RM3.99 bilion.

“Prestasi yang kukuh itu disumbang persekitaran makroekonomi yang baik di Malaysia selain perdagangan mantap secara berterusan serta sokongan kerajaan,” katanya ketika berucap pada program Invest Malaysia: Where Policy Meets Progress di Hotel Sunway Big Box, di sini hari ini. Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tambah Abdul Wahid, Bursa Malaysia mendahului di ASEAN daripada segi tawaran awam permulaan (IPO) dengan mengumpul USD450 juta selain menyumbang 33 peratus daripada pasaran IPO rantau bagi tempoh separuh pertama 2024.

“Kita merekodkan 35 penyenaraian setakat ini dengan dana terkumpul sebanyak RM6.1 bilion, manakala modal pasaran IPO pula berjumlah RM25.7 bilion.

“Selain itu ada beberapa penyenaraian lain yang dijangka untuk tempoh akhir tahun ini. Oleh itu kita optimis akan mencapai sasaran sebanyak 42 IPO tahun ini. Tahap itu tidak pernah direkodkan sejak 2006 dengan 40 penyenaraian,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI