fbpx

Sultan Selangor nasihat Sanusi jaga tutur kata, jangan terlalu beremosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan menerima permohonan ampun daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain.

Titah baginda, kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas dalam permohonan maafnya.

Namun, baginda menasihatkan Muhammad Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila.

“Jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali bila berada di dalam negeri Selangor.

“Beta tidak mahu rakyat khususnya di negeri ini terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah Klang, hari ini.

Sultan Sharafuddin menegaskan, kelakuan dan tutur kata yang baik ini amat penting untuk masa depan karier politik Menteri Besar Kedah itu.

“Sebagai seorang pemimpin, Datuk Seri (Muhammad Sanusi) harus memikirkan kesan yang akan diperolehi daripada setiap tindak tanduk yang telah dilakukan.

“Beta berharap semoga Datuk Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab,” titah baginda.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Sultan Sharafuddin telah disembah maklum dengan surat permohonan maaf daripada Muhammad Sanusi.

Menerusi kenyataan Facebook Selangor Royal Office, surat bertarikh semalam antaranya membuatkan permohonan ampun atas kenyataan Muhammad Sanusi seperti yang telah dipertuduhkan terhadap beliau di Mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Sultan Sharafuddin.

Semalam, Muhammad Sanusi membuat permohonan ampun secara terbuka kepada Sultan Sharafuddin.

Permohonan ampun Menteri Besar tersebut berkaitan kenyataan beliau pada 11 Julai tahun lalu di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor yang didakwa menghina Sultan Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI