fbpx

Tindakan tatatertib jika ketua jabatan gagal laksana pusingan kerja mula Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mana-mana ketua jabatan yang gagal melaksanakan pusingan kerja bermula bulan Oktober boleh disifatkan sebagai cuai dalam melaksanakan tugas dan tidak bertanggungjawab.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kegagalan itu boleh menyebabkan ketua jabatan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

“Dalam usaha memastikan setiap kementerian dan jabatan berupaya meningkatkan penyampaian perkhidmatan secara optimum dan berkesan, semua ketua jabatan dikehendaki melaksanakan pusingan kerja di organisasi masing-masing mulai Oktober.

“Kegagalan dalam melaksanakan pusingan kerja boleh disifatkan sebagai cuai dalam melaksanakan tugas dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini, tadi.

JPA berkata, saranan pusingan kerja itu merupakan salah satu inisiatif yang disasarkan dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam selari dengan Surat Edaran Pelaksanaan Urusan Pusingan Kerja dikeluarkan JPA pada 14 Mei lalu.

Katanya, langkah itu merupakan elemen penting dalam pengayaan dan peluasan tugas yang menyumbang kepada kemajuan kerjaya pegawai awam dari segi peningkatan kompetensi, pengalaman dan motivasi.

“Selain itu, pusingan kerja juga dapat membendung dan menangani masalah prestasi kerja, ketirisan dana awam, penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah.

“Jadi, semua ketua jabatan hendaklah memandang serius terhadap pelaksanaan pusingan kerja di kementerian dan jabatan masing-masing,” katanya.

Jelas JPA, ketua jabatan perlu mengenal pasti dan melaksanakan pusingan kerja terhadap pegawai yang wajar ditukarkan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa dinamik dan menepati kehendak semasa.

“JPA percaya bahawa tindakan ini akan menjadi peringatan kepada semua pegawai awam tentang kepentingan melaksanakan tugas dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan.

“JPA akan terus memantau dan menilai pelaksanaan pusingan kerja ini untuk memastikan matlamat yang diharapkan tercapai,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI